Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

82) PENCEMARAN ASAP KILANG

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah dasar Kerajaan Negeri untuk memastikan kilang - kilang yang mengeluarkan asap mematuhi peraturan alam sekitar?

    Kilang-kilang yang didapati melakukan kesalahan melepaskan asap yang berlebihan menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar akan diambil tindakan mengikut peruntukkan undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 iaitu dengan mengeluarkan Notis Arahan, kompaun, tindakan mahkamah dan mengenakan Perintah Larangan beroperasi.

     

    Rekod Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor mendapati kilang-kilang di kawasan sekitar Meru yang menghasilkan pencemaran udara adalah kilang berasaskan kayu, plastik, ”cement batching plant”, berasaskan getah, kimia, logam, percetakan dan tekstil. Tindakan yang diambil oleh Jabatan Alam Sekitar bagi mengawal pelepasan asap dari kilang-kilang ini adalah dengan membuat pemeriksaan berkala ke atas premis kilang-kilang ini dan memastikan operasi kilang-kilang ini dilengkapi dengan alat kawalan yang sepatutnya, membuat percontohan pelepasan cerobong dan menyemak ’smoke record’ yang dipasang oleh kilang-kilang tersebut.

     

    Pada tahun ini Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor telah menjalankan lapan belas (18)  pemeriksaan penguatkuasaan ke atas kilang-kilang  di kawasan tersebut yang mana  lima (5) dari pemeriksaan adalah berdasarkan  kepada laporan aduan berhubung pencemaran udara dari penduduk sekitar. Dari lawatan tersebut Jabatan Alam Sekitar Negeri  Selangor telah mengeluarkan empat (4)  Notis Arahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 bagi mengarahkan pekilang-pekilang untuk  meningkatkan keupayaan alat kawalan pencemaran udara dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi mematuhi standard pelepasan yang ditetapkan di bawah  Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.  Sebanyak sembilan (9) kompaun  telah diambil oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor ke atas pekilang-pekilang yang didapati melanggar peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 .

     

     

    Dalam hubungan ini ingin dijelaskan juga bahawa kawalan ke atas pelepasan asap dari kilang-kilang ini juga bergantung kepada operasi alat kawalan yang dipasang. Terdapat juga kes-kes di mana alat kawalan yang dipasang tidak dikendalikan dengan baik semasa ketiadaan pegawai JAS di lapangan atas alasan cuba menjimatkan kos. Ini menyebabkan masih berlaku beberapa kes pencemaran dari masa ke semasa yang menyebabkan aduan orang ramai. Bagi kes-kes yang melibatkan aduan berulang dan siasatan mendapati aduan adalah berasas dan disebabkan kecuaian dari pihak kilang tindakan yang lebih tegas akan diambil.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.