Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

194) PENCEMARAN BAHAN TOKSIK

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah proaktif Kerajaan Negeri supaya kejadian pencemaran bahan toksik seperti berlaku di Pasir Gudang tidak berlaku di Selangor?

    Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri bagi memastikan sumber air di Selangor sentiasa bersih dan selamat untuk digunakan. Pelbagai usaha telah diambil untuk mengimbangkan pembangunan yang pesat dan penjagaan sumber air.

     

    Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mewartakan semua 7 kawasan tadahan air empangan di Negeri Selangor di bawah Seksyen 48, Enakmen LUAS 1999. Selain itu, sejumlah 105 batang sungai kini turut telah melalui proses pewartaan rizab sungai di bawah peruntukan yang sama. Tujuan pewartaan ini adalah untuk kawalan dan melindungi sungai dan rizab sungai daripada gangguan kepada kuantiti, kualiti dan persekitarannya. Di samping itu, pihak Lembaga juga telah mengambil inisiatif melaksanakan Kajian Inventori Pemetaan dan Guna Tanah Aktiviti Di Rizab Sungai bagi tujuan mengenal pasti aktiviti-aktiviti yang berisiko terhadap sumber air dan juga pelaksanaan penguatkuasaan bersepadu terhadap aktiviti yang tidak dibenarkan.

     

    Pemantauan berkala dilaksanakan oleh Lembaga bersama agensi berkaitan bagi memastikan sumber air dan kawasan tadahannya terpelihara daripada aspek kualiti dan kuantitinya.

     

    Penguatkuasaan bersepadu dan tindakan perundangan tegas turut sentiasa dilaksanakan antaranya siasatan, notis dan pengeluaran kompaun termasuk pendakwaan di mahkamah.

     

    Maklumat tambahan

     

    Selain itu, kerja-kerja pemantauan dan penguatkuasaan berterusan dijalankan bagi isu-isu pencemaran lain melalui jawatankuasa-jawatankuasa yang telah ditubuhkan iaitu:

     

    1. Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai, yang dipengerusikan oleh Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri,

     

    1. Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang, Lembangan Sungai Langat dan Lembangan Sungai Selangor, yang dipengerusikan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS); dan

     

    • Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor, yang dipengerusikan oleh EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

     

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.