Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

289) PENCEMARAN DI LOJI RAWATAN AIR SUNGAI SEMENYIH

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha terkini Kerajaan Negeri lakukan bagi mengekang kekerapan berlakunya pencemaran dan penutupan loji air Semenyih?

    Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri bagi memastikan sumber air di Selangor sentiasa bersih dan selamat untuk digunakan. Pelbagai usaha telah diambil untuk mengimbangkan pembangunan yang pesat dan penjagaan sumber air.

    Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mewartakan semua 7 empangan di Negeri Selangor di bawah Seksyen 48, Enakmen LUAS 1999. Selain itu, sejumlah 413 (40%) daripada jumlah keseluruhan 1026 batang sungai kini turut telah melalui proses pewartaan di bawah peruntukan yang sama. Tujuan pewartaan ini adalah untuk melindungi sungai dan rizab sungai daripada gangguan kepada kuantiti, kualiti dan persekitarannya.

    Di samping itu, Kerajaan Negeri melalui LUAS dan Pengurusan Air Selangor juga telah membangunkan beberapa stesen telemetri kualiti air di hulu dari muka sauk sebagai sistem amaran awal /early warning system kepada muka sauk bekalan air jika berlakunya pencemaran di hulu.

    Kerajaan Negeri melalui LUAS telah menubuhkan Jawatankuasa Pemuliharaan Sungai-sungai Negeri Selangor yang dipengerusikan YB. EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam bagi mempergiatkan usaha dan menggalakkan penglibatan  agensi, komuniti, NGO dan pihak berkepentingan dalam aktiviti pemuliharaan sungai-sungai di Negeri Selangor.

    Pemantauan berkala dilaksanakan oleh Lembaga bersama agensi berkaitan bagi memastikan sumber air dan kawasan tadahannya terpelihara daripada aspek kualiti dan kuantitinya. Penguatkuasaan bersepadu dan tindakan perundangan tegas turut sentiasa dilaksanakan antaranya siasatan, notis dan pengeluaran kompaun termasuk pendakwaan di mahkamah.

     

    Maklumat tambahan

     

    Selain itu, kerja-kerja pemantauan dan penguatkuasaan berterusan dijalankan bagi isu-isu pencemaran lain melalui jawatankuasa-jawatankuasa yang telah ditubuhkan iaitu:

    • Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai, yang dipengerusikan oleh YB EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam;
    • Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang, Lembangan Sungai Langat dan Lembangan Sungai Selangor, yang dipengerusikan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS); dan
    • Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor, yang dipengerusikan oleh EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.