Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

26 Mac 2018 hingga 28 Mac 2018

28) PENCEMARAN SUNGAI

Tahun: 2018

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah Kerajaan Negeri bagi memastikan kebersihan Sg. Bernam Hulu Selangor terpelihara?

    Lembangan Sungai Bernam dengan keluasan 3,335km2 menempatkan Sungai Bernam dengan panjang 200km merupakan lembangan sungai utama bagi pertanian dan pengairan padi yang bersempadan dan dikongsi di antara dua negeri iaitu Negeri Selangor(35%) dan Negeri Perak (65%).

    Pendekatan secara Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (Integrated River Basin Management, IRBM) digunapakai bagi pengurusan sumber air dan lembangan sungai bagi Lembangan Sungai Bernam yang terletak di dalam Negeri Selangor. LUAS bersama agensi kerajaan dan pihak berkepentingan seperti Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd melalui Kajian Kebersihan dengan membuat pemantauan berjadual dan berterusan ke atas isu-isu pencemaran sumber air di Lembangan Sungai Bernam. Tindakan pemantauan dan penguatkuasan secara bersepadu juga diambil berdasarkan bidang kuasa agensi yang terlibat. Sebarang aduan yang diterima daripada mana- mana pihak termasuk orang awam akan dibuat siasatan dan diberi maklum balas berdasarkan prosedur yang telah ditetapkan. Berdasarkan Indeks Kualiti Air (IKA) Sungai Bernam oleh Jabatan Alam Sekitar(JAS) dikategorikan Bersih pada tahun 2017.

    LUAS bersama UPEN dan JPS Perak juga telah mengadakan dua (2) Bengkel Penyelarasan Pengurusan Lembangan Sungai Bernam bagi membincangkan isu pengurusan sumber air di Lembangan Sungai Bernam pada 3 dan 4 Disember 2015 dan 20 dan 21 Disember 2016. Lanjutan daripada itu, pihak LUAS dengan kerjasama UPEN Perak juga telah mengambil inisiatif membangunkan “State of River Report 2015:Sungai Bernam” yang melibatkan maklumat status lembangan sungai termasuk isu-isu yang signifikan terhadap lembangan sungai untuk cadangan perancangan dan tindakan selanjutnya dan telah diedarkan kepada semua pihak berkepentingan berkaitan.

    Berdasarkan keputusan MMKN bertarikh 13 September 2017 kertas ringkasan MMK. No. 36 / 30 / 2017 yang telah disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor ke 31 /2017 pada 20 September 2017. Kerajaan Negeri Selangor juga telah memutuskan bagi penyediaan Terma Rujukan Kajian Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) Sungai Bernam dan penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai Bernam dengan kerjasama Kerajaan Perak bagi pelaksanaan Pelan kelak. Kerajaan Negeri Selangor komited bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Perak di dalam menguruskan sumber air dari aspek kuantiti dan kualiti di Lembangan Sungai Bernam melalui pemantauan dan tindakan bersepadu.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.