Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

194) PENCEMARAN SUNGAI

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Ng Tien Chee

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan perancangan Kerajaan untuk mengurangkan kejadian pencemaran sungai-sungai di dalam negeri. Adakah Kerajaan merancang untuk menambah beratkan hukuman yang sedia ada di dalam undang-undang?

    Memastikan sumber air di Selangor sentiasa bersih dan selamat untuk digunakan adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri. Pelbagai usaha telah diambil untuk mengimbangkan pembangunan yang pesat dan penjagaan sumber air.

    Setiap kes pencemaran diberi perhatian dan tindakan segera supaya ianya tidak menjejaskan keperluan masyarakat. Jabatan-jabatan teknikal berkaitan sentiasa berusaha untuk menguatkuasakan perundangan mengikut bidang kuasa masingmasing dan tampil dengan kaedah-kaedah baru untuk mengelakkan kejadian pencemaran yang sama berulang serta meningkatkan kualiti sumber air negeri.

    Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) turut dalam proses pewartaan tiga (3) sungai, iaitu Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Damansara. Tujuan pewartaan ini adalah untuk melindungi sungai dan rizab sungai daripada gangguan kepada kuantiti, kualiti dan persekitarannya.

    Kerajaan Negeri turut mengambil tindakan perundangan bagi isu-isu pencemaran seperti tindakan kompaun, sitaan dan pendakwaan. Contohnya kes pencemaran di Sungai Gong di mana menyalahi Seksyen 79, Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999.

    Isu pencemaran sungai ini tidak terhad hanya di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Terdapat beberapa aktiviti yang boleh menyumbang kepada pencemaran sungai di mana pengawalan dan penguatkuasaannya adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, seperti kumbahan dan efluen perindustrian yang dikawalselia di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS), 1974. Namun, setiap isu pencemaran yang melibatkan tindakan pelbagai agensi teknikal ini akan dibincangkan dan diselesaikan secara bersepadu melalui pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (Integrated River Basin Management, IRBM).

    MAKLUMAT TAMBAHAN

    Selain itu, kerja-kerja pemantauan dan penguatkuasaan berterusan dijalankan bagi isu-isu pencemaran lain melalui jawatankuasa-jawatankuasa yang telah ditubuhkan iaitu:

    1. Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai, yang dipengerusikan oleh Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri,
    2. Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang, Lembangan Sungai Langat dan Lembangan Sungai Selangor, yang dipengerusikan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS); dan
    3. Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor, yang dipengerusikan oleh EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

    Dari segi aspek perundangan pula, cadangan untuk menambahbaik setiap perundangan adalah boleh dipertimbangkan mengikut keadaan semasa.

Lampiran

Tiada Lampiran.