Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

20 Oktober hingga 24 Oktober 2008 dan 28 Oktober hingga 29 Oktober 2008

13) PENCEMARAN SUNGAI

Tahun: 2008

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Mat Shuhaimi Bin Shafiei

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan kerajaan negeri untuk 10 tahun akan datang bagi memastikan sungai-sungai di Selangor terjaga dan bebas dari pencemaran?

    PERANCANGAN KERAJAAN NEGERI BAGI MEMASTIKAN SUNGAI DI
    SELANGOR TERJAGA DAN BEBAS DARI PENCEMARAN UNTUK
    JANGKA MASA PENDEK :
    1.1 Pemantauan dan penguatkuasaan bersepadu akan terus dilaksanakan melalui
    jawatankuasa-jawatankuasa yang telah ditubuhkan oleh Lembaga Urus Air Selangor
    (LUAS). Jawatankuasa-jawatankuasa tersebut ialah Jawatankuasa Pengurusan
    Lembangan Sungai dan Pasukan Petugas Pengawalan Pencemaran (Sungai
    Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang). Ahli jawatankuasa terdiri daripada
    agensi-agensi teknikal, PBT, PTD, pihak konsesi dan pihak berkepentingan lain
    yang berkaitan. Isu-isu yang dipantau untuk tindakan bersepadu oleh Jawatankuasa
    termasuklah masalah pencemaran yang berpunca daripada ‘non-point sources’
    seperti aktiviti kerja tanah, pengorekan pasir, penternakan haiwan, loji kumbahan,
    pembuangan sampah haram dan sebagainya.
    1.2 Pemantauan dan penguatkuasaan melalui Jawatankuasa Kecemasan
    Pencemaran Sumber Air. Ini termasuklah kes-kes kecemasan pencemaran
    sumber air akibat daripada kemalangan kenderaan yang mengakibatkan tumpahan
    minyak ke dalam sungai.
    1.3 Pemantauan aktiviti-aktiviti yang menyumbang kepada pencemaran sumber air juga
    dilakukan secara berkala yang dijalankan setiap minggu oleh LUAS dan juga
    lawatan tapak secara mengejut.
    1.4 Pelaksanaan Skim caj dan perlesenan abstraksi air bumi dan air permukaan
    bagi tujuan komersil dan bekalan air telah dilaksanakan oleh LUAS sejak 1 Julai
    2005. Kadar caj yang dikenakan ialah RM 0.01/m3 untuk tujuan bekalan air dan RM
    0.05/m3 untuk komersial. Ini adalah bagi memastikan sumber air di Negeri Selangor
    ini digunakan secara terkawal dan mampan di samping mengelakkan masalah alam
    sekitar seperti pemendapan tanah dan penerobosan air masin. Hasil kutipan caj
    digunakan untuk usaha-usaha perlindungan air daripada pencemaran, peningkatan
    dan pembaikan kualiti air serta pemuliharaan selaras dengan Seksyen 41, Enakmen
    LUAS 1999.
    2. PERANCANGAN KERAJAAN NEGERI BAGI MEMASTIKAN SUNGAI DI
    SELANGOR TERJAGA DAN BEBAS DARI PENCEMARAN UNTUK JANGKA
    MASA PANJANG :
    2.1 Menyediakan Peraturan-peraturan Pelepasan Bahan Pencemar, Navigasi dan
    Abstraksi Air LUAS, 2008. Ini ialah bagi melengkapkan lagi pelaksanaan
    penguatkuasaan di tapak dan membolehkan tindakan perundangan sama ada
    pengkompaunan dan tindakan mahkamah diambil.
    2.2 Penyediaan ‘State of the river Report’ untuk Sungai Selangor dan yang diterbitkan
    setiap dwitahunan sejak tahun 2006. Ia mengandungi maklumat dan data-data
    terkini mengenai lembangan sungai terutamanya dari aspek pengurusan kuantiti dan
    kualitinya. Ia juga melibatkan program/tindakan pemantauan dan penguatkuasaan
    secara bersepadu yang dijalankan bagi pengawalan pencemaran sungai. Laporan
    tersebut akan direplikasi untuk Sungai Langat dan Sungai Klang mulai tahun 2008.
    2.3 Penganjuran aktiviti kempen kesedaran awam dengan melibatkan komuniti
    setempat, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pihak swasta dan pihak-pihak
    berkepentingan lain bagi memberi pendedahan dan menanam kesedaran akan
    kepentingan pemeliharaan sumber air dan alam sekitar. Antara aktiviti yang telah
    dan akan dijalankan oleh LUAS ialah seperti :
    a) Program Pembersihan Pantai.
    b) Kempen Tanam Pokok di Pantai Kelanang Kuala Langat.
    c) Program Hari Bumi 2008.
    d) Pelancaran Program Qua-Qua pada 29 Jun 2008 di Ulu Yam, Hulu Selangor
    yang melibatkan program pemantauan kualiti air sungai secara fizikal, kimia dan
    biologi bersama komuniti dan pelajar sekolah amnya.
    2.4 Mulai tahun 2009 LUAS juga akan menjalankan Kajian Kemungkinan (Feasibility
    Study) bagi cadangan Projek Pembersihan 10 km Sungai Klang. Pangkalan data
    yang komprehensif yang mengandungi maklumat tentang sungai dan sumber air di
    Negeri Selangor sedang disediakan dengan kerjasama pihak NAHRIM bagi
    membolehkan Dokumen Protokol Pengurusan Sungai Negeri Selangor
    disediakan seperti arahan Kerajaan Negeri. Dalam hubungan ini, Sesi
    Percambahan Fikiran (Brainstorming Session) antara LUAS dengan pakar-pakar di
    bidang pengurusan air telah pun diadakan.
    2.5 Bagi memastikan sumber air dan kawasan tadahan air / empangan terpelihara dan
    tidak dicerobohi, LUAS dalam proses mewartakan kesemua tujuh empangan
    yang terdapat di Negeri Selangor dan juga kesemua rizab sungai. Pewartaan
    dibuat melalui peruntukan perundangan di bawah Enakmen Lembaga Urus Air
    Selangor, 1999.
    2.6 LUAS juga akan memulakan Projek Pemeliharaan Belangkas yang melibatkan
    secara langsung komuniti nelayan di Pulau Indah. Projek ini akan dijalankan
    dengan kerjasama Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP), Terengganu.
    Hidupan belangkas memberi satu indikator bahawa kualiti air marin di kawasan
    berkenaan adalah baik dan ia juga mempunyai hubungan simbiotik dengan hidupanhidupan laut yang lain seperti siput-siput dan sebagainya. Secara langsung projek
    ini juga akan dapat menjana pendapatan baru untuk para nelayan yang terlibat
    kelak.
    2.7 Usaha memelihara sungai, sumber air dan perairan pantai di negeri ini daripada
    tercemar adalah tanggungjawab kesemua pihak dan perlu mendapat sokongan padu
    semua lapisan masyarakat. Dengan sokongan dan bantuan Kerajaan Negeri, LUAS
    akan terus memainkan peranannya sebagai agensi setempat yang menyelaras dan
    menyelia ke semua usaha ke arah memastikan sungai-sungai, sumber air dan
    perairan pantai di negeri ini terjamin kuantiti dan kualitinya.

Lampiran

Tiada Lampiran.