Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

155) PENCEMARAN SUNGAI

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan langkah Kerajaan Negeri bagi memastikan pencemaran sungai melibatkan kawasan perindustrian di kawasan berhampiran sungai yang kerap berlaku pencemaran tidak berulang?

    Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri bagi memastikan sumber air di Selangor sentiasa bersih dan selamat untuk digunakan. Pelbagai usaha telah diambil untuk mengimbangkan pembangunan yang pesat dan penjagaan sumber air.

    Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mewartakan semua 7 empangan di Negeri Selangor di bawah Seksyen 48, Enakmen LUAS 1999. Selain itu, sejumlah 413 (40%) daripada jumlah keseluruhan 1026 batang sungai kini turut telah melalui proses pewartaan di bawah peruntukan yang sama. Tujuan pewartaan ini adalah untuk melindungi sungai dan rizab sungai daripada gangguan kepada kuantiti, kualiti dan persekitarannya.

    Di samping itu, Kerajaan Negeri melalui LUAS dan Pengurusan Air Selangor juga telah membangunkan beberapa stesen telemetri kualiti air di hulu dari muka sauk sebagai sistem amaran awal /early warning system kepada muka sauk bekalan air jika berlakunya pencemaran di hulu.

    Kerajaan Negeri melalui LUAS telah menubuhkan Jawatankuasa Pemuliharaan Sungai-sungai Negeri Selangor yang dipengerusikan YB. EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam bagi mempergiatkan usaha dan menggalakkan penglibatan  agensi, komuniti, NGO dan pihak berkepentingan dalam aktiviti pemuliharaan sungai-sungai di Negeri Selangor.

    Pemantauan berkala dilaksanakan oleh Lembaga bersama agensi berkaitan bagi memastikan sumber air dan kawasan tadahannya terpelihara daripada aspek kualiti dan kuantitinya.

    Penguatkuasaan bersepadu dan tindakan perundangan tegas turut sentiasa dilaksanakan antaranya siasatan, notis dan pengeluaran kompaun termasuk pendakwaan di mahkamah.

    Selain itu, satu surat telah dikeluarkan oleh YB EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna kepada Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bertarikh 1 Oktober 2019 yang memberikan cadangan bagi penambahbaikan Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling yang berkaitan di bawah Akta Kualiti Alam Sekliling 1974.


    Maklumat tambahan

    Selain itu, kerja-kerja pemantauan dan penguatkuasaan berterusan dijalankan bagi isu-isu pencemaran lain melalui jawatankuasa-jawatankuasa yang telah ditubuhkan iaitu:

    • Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai, yang dipengerusikan oleh YB EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam;
    • Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang, Lembangan Sungai Langat dan Lembangan Sungai Selangor, yang dipengerusikan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS); dan
    • Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor, yang dipengerusikan oleh YB EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna.

Lampiran

Tiada Lampiran.