Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

131) PENCEMARAN SUNGAI

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah insentif oleh Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah pencemaran sungai dan longkang serta saliran di kawasan luar bandar? Ini penting untuk memastikan agar kawasan luar bandar Negeri Selangor dapat dijaga dengan lebih berkesan.

    Pada masa kini, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran tidak menyediakan insentif bagi mengatasi masalah pencemaran sungai dan longkang serta saliran di kawasan luar bandar. Namun begitu, bagi penjagaan parit atau saliran di kawasan pengairan seperti di Daerah Kuala Selangor dan Daerah Sabak Bernam, pihak jabatan telah melantik Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan parit dan saliran di dalam kampung masing-masing.

     

    Maklumat Tambahan

     

    Sumber : LEMBAGA URUS AIR SELANGOR

     

    *Juga menjawab pertanyaan mulut Bil.64(c), Bil.68(a), Bil.91(b), Bil.111(c), Bil.166(a), Bil.184(a), Bil.195(a), Bil.208(b), Bil.244(a), Bil.289(a) serta pertanyaan bertulis Bil.132(a)

     

    Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri bagi memastikan sumber air di Selangor keseluruhannya sama ada di kawasan bandar atau luar bandar, sentiasa bersih dan selamat untuk digunakan. Pelbagai usaha telah diambil untuk mengimbangkan pembangunan yang pesat dan penjagaan sumber air.

     

    Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mewartakan semua 7 empangan di Negeri Selangor di bawah Seksyen 48, Enakmen LUAS 1999. Selain itu, sejumlah 413 (40%) daripada jumlah keseluruhan 1026 batang sungai kini turut telah melalui proses pewartaan di bawah peruntukan yang sama. Tujuan pewartaan ini adalah untuk melindungi sungai dan rizab sungai daripada gangguan kepada kuantiti, kualiti dan persekitarannya.

    Di samping itu, Kerajaan Negeri melalui LUAS dan Pengurusan Air Selangor juga telah membangunkan beberapa stesen telemetri kualiti air di hulu dari muka sauk sebagai sistem amaran awal/early warning system kepada muka sauk bekalan air jika berlakunya pencemaran di hulu.

     

    Kerajaan Negeri melalui LUAS telah menubuhkan Jawatankuasa Pemuliharaan Sungai-sungai Negeri Selangor yang dipengerusikan YB. EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam bagi mempergiatkan usaha dan menggalakkan penglibatan agensi, komuniti, NGO dan pihak berkepentingan dalam aktiviti pemuliharaan sungai-sungai di Negeri Selangor.

     

    Pemantauan berkala dilaksanakan oleh Lembaga bersama agensi berkaitan bagi memastikan sumber air dan kawasan tadahannya terpelihara daripada aspek kualiti dan kuantitinya.

     

    Penguatkuasaan perundangan yang diperuntukkan juga dilaksanakan secara holistik dalam penjagaan sumber air, antaranya :

     

    • pelesenan Kemasukan Atau Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor),
    • pemberian Kebenaran Bertulis bagi Aktiviti Pengubahan Sumber, dan
    • pengeluaran Notis Pemberitahuan Kesalahan, Kompaun dan pendakwaan bagi setiap kesalahan yang berkaitan dengan sumber air.

    Dalam usaha menangani isu-isu pencemaran sumber air, kerja-kerja pemantauan dan penguatkuasaan berterusan dijalankan melalui jawatankuasa-jawatankuasa yang telah ditubuhkan iaitu:

    • Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai, yang dipengerusikan oleh YB EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam;
    • Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang, Lembangan Sungai Langat dan Lembangan Sungai Selangor, yang dipengerusikan oleh Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS); dan
    • Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor, yang dipengerusikan oleh EXCO Alam Sekitar.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.