Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

43) Pencemaran Sungai Di Selangor

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Dr. Idris Bin Ahmad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mengkaji teknologi terkini dalam pencegahan awal masalah pencemaran air di Selangor ?

    Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri bagi memastikan sumber air di Selangor sentiasa bersih dan selamat untuk digunakan. Pelbagai usaha telah diambil untuk mengimbangkan pembangunan yang pesat dan penjagaan sumber air.

    Kerajaan Negeri juga bertindak aktif untuk mengkaji dan melihat teknologi terkini dalam pencegahan awal masalah pencemaran sumber air. Kerajaan Negeri melalui LUAS dan Pengurusan Air Selangor juga telah membangunkan beberapa stesen telemetri kualiti air di hulu dari muka sauk sebagai sistem amaran awal /early warning system kepada muka sauk bekalan air jika berlakunya pencemaran di hulu.

    Di samping itu, Kerajaan Negeri turut melihat teknologi terkini yang ada di pasaran seperti penggunaan teknologi drone untuk membantu meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan. Beberapa kaedah rawatan seperti rawatan menggunakan diatom juga sedang dilihat kesesuaiannya dalam menurunkan bahan pencemar dalam sumber air.

    Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor turut terlibat menganggotai Jawatankuasa Kajian pencemaran Bau Di Malaysia yang diurusetiakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang akan dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM). Skop cadangan kajian turut melibatkan cadangan instrumen pemantauan bau di samping penetapan had piawaian nilai ambang pencemaran bau di sumber air.

Lampiran

Tiada Lampiran.