Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

97) PENCEMARAN SUNGAI LANGAT

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah kualiti dan tahap pencemaran Sungai Langat khususnya bahagian di Daerah Kuala Langat dan apakah punca-punca pencemaran?

    Pencemaran sungai merupakan isu yang kerap kali berulang dan ada di antaranya menyebabkan henti tugas loji pembersihan air. Berdasarkan laporan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai Negeri Selangor Bil1/2019, kualiti air Sungai Langat adalah pada 76 iaitu Sederhana Tercemar. Antara punca pencemaran yang dikenalpasti di Sungai Langat adalah terdiri daripada punca tetap seperti industri dan loji kumbahan awam dan swasta. Manakala bagi punca tidak tetap seperti aktiviti pertanian, kerja tanah tanpa kawalan dan lain-lain. Dalam hubungan ini, Kerajaan Negeri telah melaksanakan langkah- langkah kawalan seperti berikut:

     

    • Mengadakan perbincangan dan tindakan susulan melalui dua (2) jawatankuasa yang ditubuhkan iaitu Mesyuarat Pasukan Petugas Lembangan Sungai Langat,Sungai Selangor dan Sungai Klang yang dipengerusikan oleh Pengarah LUAS dan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Y.B Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor;

     

    • Pemantauan dan pelaksanaan Polisi dan Strategi dalam Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) Sungai Langat melalui Jawatankuasa Pemantauan Pelan IRBM Sungai Langat terutama bagi aspek meningkatkan kualiti air;

     

    • Melaksanakan dan mengemaskini serta tindakan bersepadu inventori punca pencemaran dan guna tanah di rizab sungai dalam Negeri Selangor seperti di Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang;

     

    • Menjalankan pemantauan statik dan pensampelan berkala di lokasi utama yang menyebabkan pencemaran. Sebagai contoh pemantauan kekeruhan di Sungai Sub dan Sungai Michu, Hulu Langat akibat daripada aktiviti pembangunan/ kerja tanah tidak terkawal;

     

    • Melaksanakan pembinaan stesen kuantiti dan kualiti sumber air secara telemetri di lembangan sungai bagi melengkapi rangkaian stesen sedia ada. Pada tahun 2018, pembangunan stesen di Sungai Langat telah siap sepenuhnya;
    • Menguatkuasa dan menjalankan pemantauan kawalan pencemaran melalui Peraturan-Peraturan Aktiviti Pengubahan Sumber (Selangor) 2013 dan Peraturan Kemasukan dan Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2012;
    • Menjalankan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi teknikal dan Pihak Berkuasa Tempatan berkaitan dengan mengoptimumkan pelaksanaan undang-undang dan arahan bagi memastikan sumber air terpelihara; dan
    • Meningkatkan pengambilan dan kompetensi kakitangan penguatkuasaan bagi memperkasakan penguatkuasaan undang- undang dan peraturan

     

Lampiran

Tiada Lampiran.