Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

19 November - 22 November 2013 dan 25 November - 29 November 2013

244) PENCEMARAN SUNGAI – SUNGAI DI SELANGOR

Tahun: 2013

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan diambil oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan sungai-sungai di Selangor tidak dicemari berikutan dakwaan penyelidik air dari Universiti Kyoto, Profesor Nobumithu Sakai yang mendakwa Sungai Selangor dicemari Polychlorinated Biphenyls (PCBs) selepas membuat penyelidikan?

    1. Setiap kes pencemaran diberi perhatian dan tindakan segera diambil supaya ianya tidak menjejaskan kualiti sumber air untuk keperluan masyarakat. Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan-jabatan lain yang berkaitan sentiasa berusaha dengan kaedah-kaedah baru untuk menangani isu-isu berkaitan pencemaran terutamanya kejadian pencemaran yang sama berulang.

     

    Bagi aduan pencemaran berkaitan pencemaran Polychlorinated Biphenyls (PCBs) di Sungai Selangor, pihak Lembaga Urus Air Selangor telah menjalankan pensampelan pada 26 September 2013 di 6 titik pensampelan, iaitu 4 titik pensampelan di Sungai Selangor, 1 titik pensampelan masing-masing di Sungai Sembah dan Sungai Tinggi yang merupakan anak sungai kepada Sungai Selangor. 6 sampel tersebut telah dihantar ke sebuah makmal akreditasi, iaitu ALS Technicam (M) Sdn Bhd untuk menjalankan analisis bagi parameter PCBs. Keputusan yang diterima menunjukkan ketidakhadiran parameter PCB di dalam semua sampel tersebut.

     

    Selain itu, kerja-kerja pemantauan dan penguatkuasaan berterusan dijalankan bagi isu ini dan isu-isu pencemaran lain melalui jawatankuasa-jawatankuasa yang telah ditubuhkan iaitu:

     

    1. Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai, yang dipengerusikan oleh Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri,

     

    1. Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang, Lembangan Sungai Langat dan Lembangan Sungai Selangor, yang dipengerusikan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS); dan

     

    • Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air, yang dipengerusikan oleh EXCO Infrastruktur dan Kemudahan

     

    Pihak LUAS juga akan menjalankan pensampelan dan ujian yang sama di sungai-sungai lain di Negeri Selangor (Sungai Bernam dan Sungai Langat).

     

Lampiran

Tiada Lampiran.