Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

20) PENCEMARAN UDARA

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Dr. Idris Bin Ahmad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Pencemaran udara daripada pembakaran plastik di Ijok amat ketara. Apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri, PTD dan Majlis Tempatan untuk membenteras aktiviti haram ini?

    Sejak Februari 2019, pihak MDKS giat memastikan tiada kilang plastik yang beroperasi sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepada persekitaran melalui tindakan pemantauan dan penguatkuasaan yang dijalankan. Ia adalah susulan arahan Kerajaan Negeri untuk menghentikan operasi kilang plastik di daerah Kuala Selangor sedang giat dijalankan. Untuk makluman, jika jabatan menerima aduan kacauganggu persekitaran, Jabatan Kesihatan dan Persekitaran akan mengeluarkan Notis Hapuskan Kacauganggu dibawah Seksyen 82 (5) Akta Kerajaan Tempatan dan sekiranya pihak kilang ingkar, tindakan penguatkuasaan akan dijalankan samada dikenakan kompaun dan menghentikan operasi kilang tersebut melalui pemotongan bekalan utility dengan kerjasama pihak Tenaga Nasional Berhad dan Air Selangor.

    Tindakan ini adalah hasil kerjasama bersama Jabatan Penguatkuasaan dan agensi luar yang lain.

    Langkah  yang perlu diambil untuk membenteras aktiviti haram ini ialah dengan cara ;

     

    • Pemantauan secara skala.
    • Mengeluarkan notis berhenti niaga.
    • Mengeluarkan kompaun atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa kebenaran dari Pihak Berkuasa Melesen.
    • Mengadakan operasi penutupan kilang secara bersepadu bersama jabatan dalaman dan agensi luar.

    Maklumat Tambahan

    Kejadian pembakaran plastik yang berlaku di kawasan Ijok adalah dijangkakan  berpunca daripada operasi kilang-kilang plastik yang terdapat di kawasan tersebut. Oleh yang demikian, Jabatan Alam Sekitar Cawangan Sabak Bernam bersama-sama dengan Majlis Daerah Kuala Selangor serta lain-lain agensi telah terlibat dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Kilang Plastik Haram yang dilaksanakan pada 18 Julai 2019 yang lalu. Operasi tersebut yang diketuai oleh Majlis Daerah Kuala Selangor yang turut disertai oleh beberapa agensi kerajaan lain seperti Air Selangor, Tenaga Nasional Berhad, Jabatan Pelesenan MDKS dan lain-lain.  Operasi ini dijalankan ke atas 10 premis kilang plastik haram di kawasan Ijok, Bestari Jaya dan Jeram. Tindakan pemotongan bekalan elektrik dan bekalan air telah diambil ke atas 9 premis. Tindakan undang-undang akan diambil ke atas kilang plastik yang masih beroperasi secara haram mengikut bidang kuasa Jabatan dan agensi masing-masing.

Lampiran

Tiada Lampiran.