Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

97) PENCEMARAN UDARA PEMBAKARAN SECARA TERBUKA

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apa tindakan Kerajaan Negeri untuk mengurangkan pembakaran haram secara terbuka?

    Tindakan Kerajaan Negeri untuk mengurangkan pembakaran haram secara terbuka adalah dengan cara di antaranya :

    • Menjalankan pemantauan bersepadu dengan pihak Pejabat Tanah Daerah sekiranya tanah tersebut adalah tanah hak milik,
    • Menjalankan pemantauan bersepadu dengan jabatan teknikal dalaman PBT sekiranya tanah tersebut mempunyai pengusaha tanah,
    • Pihak kontraktor perlu kerap membuat kutipan sampah di sesuatu kawasan.
    • Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang mengenai larangan melakukan pembakaran terbuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan undang-undang lain yang berkaitan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Tanah Dan Daerah dengan mengambil tindakan ke atas pihak yang didapati melakukan atau membenarkan aktiviti pembakaran terbuka;
    • JAS menjalankan program pemantauan dan rondaan darat ke atas kawasan-kawasan yang berisiko tinggi untuk berlakunya pembakaran seperti di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah;
    • Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Mineral dan Geosains melaksanakan langkah pencegahan pembakaran terbuka di kawasan hutan yang melibatkan tanah gambut dengan melaksanakan “water management system” melalui pembinaan “checkdam” dan pembinaan telaga air tanah (tubewell) di kawasan tersebut supaya kebakaran dapat dikawal dan dikurangkan;
    • Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan kerjasama agensi-agensi lain seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Mineral dan Geosains, JPAM dan RELA terlibat di dalam kerja-kerja pemadaman bagi kes-kes kebakaran yang telah berlaku melibatkan kawasan hutan, tanah gambut dan tapak pelupusan sampah;
    • Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah akan digerakkan bagi kes-kes pembakaran terbuka berskala besar untuk mengambil tindakan bersepadu bagi memadam kebakaran tersebut mengikut Peraturan Tetap Operasi Pengendalian Bencana Kebakaran Hutan/Pembakaran Terbuka dan Jerebu;
    • Bagi membantu untuk mempercepatkan pemadaman kebakaran yang dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kerajaan Negeri telah mendapatkan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk menggunakan khidmat penerbangan Bombardier untuk pemadaman kebakaran hutan di Negeri Selangor ;
    • Kerajaan Negeri Selangor juga melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke-30/2012 yang diadakan pada 15 Ogos 2012 telah membuat keputusan bahawa Pejabat Tanah Daerah akan merampas tanah-tanah terbiar dan tanah-tanah di mana pembakaran terbuka berlaku serta pemilik tanah tidak mengusahakan apa-apa aktiviti dan tidak menjaga tanah mereka; dan

     

    • Melaksanakan program pendidikan dan kesedaran alam sekitar kepada orang awam dan para petani bagi memastikan mereka memberi kerjasama dalam usaha-usaha penjagaan alam sekitar dengan tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka.

    Pemantauan bersepadu diantara Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bersama Pejabat Tanah Daerah Gombak (PTDG) dan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membenteras pembakaran haram secara terbuka di sekitar pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang di buat bersama.

Lampiran

Tiada Lampiran.