Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

64) PENCEROBOHAN HUTAN SIMPAN BUKIT CERAKAH

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Mohd Najwan Bin Halimi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh pihak Kerajaan Negeri dalam memastikan Hutan Simpan Bukit Cerakah terus dipelihara dan dijamin dari pencerobohan dan penerokaan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab?

    Pada 15 Mac 2019, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) telah berjaya mengesan satu (1) kes pencerobohan tanah Hutan Simpanan Kekal (HSK) iaitu di Kompt. 32 Hutan Simpan Bukit Cherakah. Hasil siasatan mendapati pihak pemaju tanah telah menjalankan kerja-kerja tanah (earth works) di dalam kawasan HSK yang terletak bersebelahan tanah milik pemaju. Kes ini masih lagi di dalam peringkat siasatan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 81 (1)(g) iaitu “Tiada seorang pun boleh, dalam hutan simpanan kekal iaitu menceroboh dengan apa jua cara yang sebelum ini tidak dilarangi dalam seksyen ini”.

    Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) sentiasa komited dalam memastikan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Bukit Cherakah terus dipertahankan dan dipelihara bagi memastikan pengurusan sumber hutan secara berkekalan. JPNS tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu ataupun pihak yang didapati telah melakukan kesalahan seperti menceroboh kawasan HSK. Sekiranya sabit kesalahan, pihak berkenaan akan dihukum dengan sewajarnya mengikut mana-mana seksyen yang berkaitan seperti yang diperuntukkan di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.

Lampiran

Tiada Lampiran.