Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

276) PENCEROBOHAN TANAH KERAJAAN DI BUKIT BROGA

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Baru-baru ini dilaporkan tanah kerajaan di Bukit Broga telah diceroboh oleh pihak tertentu serta mengutip bayaran daripada pendaki. Apakah tindakan kerajaan Selangor mengenainya?

    Tanah Kerajaan di Bukit Broga yang diceroboh adalah melibatkan struktur gerai dan pintu gerbang yang terletak dalam rezab jalan. PDT Hulu Langat telah mengambil tindakan mengeluarkan Notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara ke atas pihak yang membina struktur Pada masa ini, gerai dan pintu gerbang yang dimaksudkan tersebut telah dialihkan.

    Terdapat beberapa laluan masuk ke Bukit Broga yang digunakan untuk pendakian. Sebahagian adalah melaui tanah hak milik yang menjadi pilihan kebanyakan pendaki kerana ia lebih mudah diakses. Ini menyebabkan pemilik tanah berkenaan mengambil kesempatan mengenakan bayaran terhadap pendaki yang menggunakan laluan tanah mereka. Sehingga kini, pihak Kerajaan tidak pernah meluluskan sebarang lesen bagi kutipan untuk sebarang aktiviti di lokasi tersebut.

    Pemilik tanah yang dimaksudkan adalah pemilik tanah No. Lot 1837, No. Geran 51262, Combined Enterprise Sdn. Bhd. yang mengenakan kutipan RM1 untuk penyelenggaraan dan pembersihan kawasan pendakian tersebut. Tanah ini tidak mempunyai syarat nyata tanah, tetapi telah di zonkan untuk kegunaan pertanian dalam Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan telah diluluskan sebagai aktiviti pertanian dan Taman Asas Semulajadi (Eco Farm Park) kepada syarikat tersebut pada 30 November 2016. Namun, setelah mendapat aduan dari orang ramai satu lawatan siasatan telah dibuat oleh MPKj dan PDHL pada 20 Januari 2017 dan mendapati pemilik tanah telah membuat kutipan sebanyak RM1 kepada pendaki Bukit Broga dengan alasan penyelenggaraan dan pembersihan kawasan pendakian. Perkara ini telah menyalahi kebenaran yang diberikan sebelum ini dan telahpun dibatalkan kebenaran tersebut.

    Pemilik tanah kedua adalah tanah milik No. Lot 2341, No. Geran 236853, O&G Fic (M) Sdn. Bhd. Yang mengenakan kutipan RM3 untuk tempat meletak kenderaan dan kemudahan tandas kepada pendaki Bukit Broga. Tanah ini juga tidak mepunyai syarat nyata dan dizonkan untuk kegunaan pertanian dalam Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

    Pada masa ini, pihak Kerajaan sedang mengenalpasti laluan baru yang boleh diterokai untuk memudahkan pendaki ke Bukit Broga tanpa melalui tanah milik berkenaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.