Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

108) PENCURIAN PASIR

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Phillip Tan Choon Swee

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Dalam usaha membanteras pencurian pasir, penguatkuasa telah pun pernah menahan beberapa ÔexcavatorÕ (jentera pengorek pasir). Akan tetapi, Kerajaan Negeri dan KSSB tidak mempunyai ÔloaderÕ untuk membawa balik excavator-excavator yang dirampas. Excavator-excavator pun ditinggalkan begitu sahaja dan akhirnya diambil balik oleh pencuri pasir. Adalah difahamkan bahawa syarikat-syarikat swasta yang mempunyai ÔloaderÕ tidak berani untuk menyewa kepada Kerajaan Negeri kerana mereka telah pun diberi amaran oleh pencuri-pencuri pasir ini. Apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah ini?

    Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pembangunan Tanah dan Sumber Alam Bil.2/2011 yang diadakan pada 25 Februari 2011 telah membuat keputusan bahawa pembelian low-loader akan dibuat oleh Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB). Pihak KSSB telah pun mengambil tindakan dengan memohon lesen daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dahulu dikenali sebagai Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP). Pihak Pejabat Tanah dan Galian Selangor telah membuat susulan berkaitan perkara tersebut kepada pihak SPAD namun masih belum menerima sebarang maklum balas. Setelah permohonan ini diluluskan kelak, pihak KSSB akan membuat pembelian low-loader tersebut.

    Selain menggunakan perkhidmatan daripada pihak swasta, pentadbiran tanah mendapat bantuan penggunaan low-loader daripada Jabatan Kerja Raya (Mekanikal) Negeri Selangor di dalam tindakan penguatkuasaan bagi aktiviti pengeluaran pasir secara tidak sah. Pihak Berkuasa Negeri juga telah mengenal pasti sebuah tapak yang bersesuaian untuk dijadikan sebagai tapak penyimpanan barang rampasan bagi tindakan penguatkuasaan bahan batuan.

    Bagi mengatasi masalah aktiviti pengeluaran pasir secara tidak sah daripada berleluasa, Pejabat Tanah dan Galian Selangor serta Pejabat Tanah Daerah menjalankan pemantauan dan operasi bersepadu bersama jabatan-jabatan teknikal seperti Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Urus Air Selangor, RELA dan lain-lain jabatan yang berkaitan. Pejabat Tanah Daerah juga menjalankan Ops Statik dan rondaan berkala di kawasan yang berpotensi berlakunya kecurian pasir.

Lampiran

Tiada Lampiran.