Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

188) PENDAPATAN ISI RUMAH RAKYAT SELANGOR

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Bin Ibrahim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Pelan tindakan terperinci Kerajaan Negeri untuk meningkatkan pendapatan bulanan isi rumah supaya mencapai paras minimum RM4,000 seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Rakyat di peringkat nasional untuk Pilihanraya Umum ke-13.

    Manifesto Rakyat telah digubal berdasarkan empat (4) tonggak utama iaitu Rakyat Bersaudara, Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat dan Kerajaan Rakyat. Sehingga kini, Kerajaan Negeri masih berpegang kepada empat (4) tonggak tersebut bagi memastikan ekonomi yang pesat dan pertumbuhan yang berkualiti. Ini dapat diterjemahkan melalui pengumuman Belanjawan 2015 Negeri Selangor bertemakan Pembangunan Berkualiti, Rakyat Dipeduli.

    Sasaran Kerajaan Negeri bagi meningkatkan pendapatan isi rumah sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan sentiasa dalam perhatian Kerajaan Negeri. Tumpuan telah diberikan bagi memanfaatkan potensi yang belum diteroka dalam pelaburan domestik termasuk mencipta peluang pekerjaan, peningkatan produktiviti dan peningkatan rangkaian nilai daripada aktiviti berasaskan pekerja yang berkemahiran rendah kepada aktiviti pekerja berkemahiran tinggi.

    Ke arah itu, strategi-strategi utama telah dirangka iaitu membesarkan lapisan kelas menengah. Kerajaan Negeri telah merangka program-program secara terperinci sebagai langkah melipatgandakan usaha bagi mengupayakan golongan pertengahan iaitu melalui :

    • Melaksanakan Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES)

    Melalui program MES, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai program dan aktiviti serta membangunkan pelbagai sumber supaya rakyat semua kaum tanpa mengira perbezaan agama mahupun fahaman politik dapat sama-sama menikmati hasil kekayaan selari dengan pertumbuhan pesat ekonomi negeri Selangor. Pelaksanaan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor ini akan menjadikan kebajikan dan kualiti hidup rakyat lebih baik dan sekaligus rakyat dapat menikmati hidup yang lebih sejahtera. Pelaksanaan MES yang dijalankan secara berperingkat melalui fasa demi fasa telah dipergiat dan ditambah baik supaya lebih banyak kekayaan dapat dikongsi dan dinikmati oleh rakyat Selangor.

    • Program Hijrah

    Program ini merupakan strategi Belanjawan 2015 melalui inisiatif Program Mikrokredit Selangor (SkimSel) dan Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR) yang diperkasakan secara bersepadu bagi melonjakkan jumlah pendapatan golongan ini. Sebanyak RM100 juta telah diperuntukkan bagi membantu golongan itu mengorak langkah untuk mengubah kehidupan ke satu tahap lebih baik.

    • Pelaburan kepada pembangunan modal insan

     

    Kerajaan Negeri berusaha mewujudkan sebuah masyarakat berilmu dan berkemahiran tinggi bagi merebut setiap peluang pekerjaan yang diwujudkan oleh Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri telah menawarkan pemberian biasiswa melalui Tabung Biasiswa Selangorku, Biasiswa Tagong Tasi, Dana Bantuan Sara Diri Anak Selangor, Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor dan Hadiah Masuk Universiti.

    • Pembangunan Bakat dan Kemahiran

    Pelaburan jangka masa panjang ini diharap dapat mencipta brain bank Negeri Selangor yang berkualiti bagi mengisi keperluan tenaga mahir berprestasi tinggi masa hadapan bagi mendapatkan peluang memperolehi pendapatan yang lumayan daripada kemahiran berimpak tinggi tersebut.  Ekonomi generasi muda juga akan dapat dipertingkatkan melalui usaha pembangunan bakat dan kebolehan generasi muda melalui Dana Usahawan Mikro Selangor dengan insentif RM30,000.

    • Pembangunan Desa

    Pembangunan Desa akan dilaksanakan melalui konsep memberdaya warga peladang, penternak, petani dan penduduk setempat untuk menguasai kemahiran terkini dalam bidang pertanian dan hortikultur. Matlamat utama adalah mewujudkan satu hub jaminan bekalan makanan (food security) dengan meningkatkan produktiviti hasil desa melalui penggunaan teknologi berinovasi. Konsep yang menyeluruh dan holistik akan dilaksanakan bagi memastikan produk luar bandar dibawa ke peringkat global sekaligus membawa transformasi pembangunan kampung setanding dengan pembangunan di kawasan bandar.

Lampiran

Tiada Lampiran.