Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

77) PENDERAAN KANAK-KANAK

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Negeri Selangor hanya mempunyai 1 rumah selamat kanak-kanak, iaitu Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah. Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk menambahbaik perlindungan kanak-kanak, dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Malaysia?

    Mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, mana-mana kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan boleh ditempatkan di tempat selamat. Tempat selamat di Negeri Selangor adalah Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah.

    Penempatan kanak-kanak di institusi merupakan pilihan terakhir selaras dengan semangat penjagaan berasaskan keluarga. Selain daripada penempatan di tempat selamat, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak boleh memerintahkan kanak-kanak untuk ditempatkan di bawah jagaan orang yang layak dan sesuai, jagaan ibu bapa pelihara dan pusat.

    Bagi menambahbaik perkhidmatan perlindungan kanak-kanak, Kerajaan Negeri telah melaksanakan dan merancangkan program berikut:

    1-Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Negeri

    Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga Negeri Selangor dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKMN) Selangor merancang untuk mewujudkan Pusat Aktiviti Kanak- Kanak Negeri yang akan berfungsi sebagai pusat aktiviti, pusat advokasi, pusat sumber, pusat pembelajaran, pusat intervensi krisis dan pusat sosial dan rekreasi untuk kanak-kanak.

    • Program Selangor Teen Volunteers

    Pewujudan sukarelawan kanak-kanak Negeri Selangor atau dikenali sebagai Selangor Teen Volunteers adalah inisiatif bersama antara Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor dan JKMN Selangor. Objektif program adalah untuk:

    • Meningkatkan kesedaran kanak-kanak berkaitan amalan dan nilai murni bagi membentuk peribadi seimbang;
    • Memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menyertai, menyumbang idea dan bagi bagi peningkatan potensi diri;
    • Menanam sifat tanggungjawab, prihatin dan rasa ingin menolong terhadap masyarakat tanpa mengharapkan balasan; dan
    • Memberi galakan kanak-kanak menyuarakan pendapat dan pandangan secara bertanggungjawab dan beretika bagi merangka program demi kepentingan kanak-kanak.

    Kanak-kanak yang terlibat dalam program Selangor Teen Volunteers akan lebih terdedah kepada perkhidmatan JKM dan perkara-perkara berkaitan kanak-kanak seperti hak dan isu perlindungan kanak-kanak. Kanak-kanak ini kemudiannya akan menjadi pihak yang akan menyebarluaskan isu hak dan perlindungan kanak-kanak melalui hubungan antara mereka dan rakan-rakan yang lain.

    3-Program Jom Daftar TASKA dan Kempen “Sayangi Anak, Kenali Pengasuh”

    Program Jom Daftar Taska dan Kempen “Sayangi Anak, Kenali Pengasuh” telah diadakan pada 19 Ogos 2018 bertujuan memberi maklumat kepada pengasuh kanak-kanak dan ibubapa berkenaan keperluan pengasuh kanak- kanak berdaftar dan TASKA berdaftar sebagai usaha memastikan keselamatan kanak-kanak.

    Selain itu, program ini juga turut memberi pendedahan kepada para pengasuh berkenaan pertolongan cemas dan kawalan penyakit berjangkit sebagai usaha meningkatkan pengetahuan para pengasuh dalam memastikan keselamatan kanak-kanak.

Lampiran

Tiada Lampiran.