Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009

137) PENDIDIKAN TINGGI

Tahun: 2009

Sesi: 3

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah kedudukan akademik UNISEL berbanding universiti terbaik di peringkat Malaysia, serantau dan dunia?

    Kedudukan akademik UNISEL berbanding dengan universiti terbaik di peringkat
    Malaysia, serantau dan dunia tidaklah jauh sangat perbezaannya memandangkan
    kepada usia UNISEL yang baru berumur 10 tahun. (Telah ditubuhkan pada bulan
    September 2009).
    UNISEL juga adalah sebuah universiti swasta walaupun dimiliki oleh Kerajaan Negeri
    Selangor. Pendapatan UNISEL sepenuhnya bergantung kepada bayaran yuran yang
    diterima daripada pelajar. Dengan demikian pencapaian UNISEL tidak boleh
    dibandingkan dengan universiti-universiti terbaik di Malaysia yang rata-rata berusia lebih
    daripada 20 tahun, dimiliki oleh Kerajaan Persekutuan dan seterusnya menerima
    peruntukan kewangan daripada Kerajaan setiap tahun.
    Namun begitu, dalam tempoh 10 tahun, UNISEL kini sedang menawarkan sebanyak 86
    program dan kesemua program telah diiktiraf oleh Malaysian Quality Assurance (MQA),
    dan program-program kejuruteraan telah juga diiktiraf oleh Engineers Association
    Council (EAC). Program-program yang berbagai ini telah membolehkan pelajar
    membuat pilihan bagi melakar (charting) kerjaya masing-masing.
    UNISEL dalam sepuluh tahun penubuhan ini juga telah mencapai banyak kejayaan dan
    menghasilkan inovasi yang sangat dibanggakan. Pencapaian ini boleh menandingi
    universiti-universiti awam yang lain di peringkat nasional, dan juga di peringkat
    antarabangsa..
    Di antara pencapaian-pencapaian UNISEL dalam tempoh 2007-2009 adalah seperti
    berikut:
    1) Memenangi tempat pertama di kalangan IPT Malaysia (IPTA&IPTS) dalam
    Pertandingan Perlumbaan Formula Varsiti Race 2009 (Inovasi Pendidikan dalam
    motorsport dan automatif). Kereta lumba yang digelar UNISEL V-1 telah di reka cipta
    oleh pelajar dan pensyarah Fakulti Kejuruteraan;
    2) Memenangi tempat ketiga dalam Cabaran Eko – Produa 2009, di peringkat
    nasional. Pertandingan adalah dalam menilai berapa jauh jarak batuan yang boleh
    dicapai bagi satu liter petrol.
    3) Memenangi tempat ketiga dalam Pertandingan Berpidato Bahasa Jepun 2009,
    peringkat nasional.
    4) Memenangi tempat pertama dan Kedua dalam merekacipta Logo MQA, peringkat
    nasional
    5) Menjuarai Kejohanan Jelajah Berbasikal Malaysia 2009 dan mewakili Malaysia
    bagi Kejohanan Jelajah Berbasikal Jepun 2009.
    6) Memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Mencipta Teleskop Mini
    Peringkat IPT Selangor 2009 anjuran Jabatan Mufti Majlis Agama Islam Selangor
    (MAIS).
    7) Memenangi hadiah dalam reka bentuk terbaik dan memenangi tempat pertama
    bagi kategori terpantas dan daya ketahanan dalam Pertandingan Reka bentuk
    Kanu Jabatan Parit & Saliran 2008, peringkat nasional. Empat peringkat emas dan
    dua pingat perak telah berjaya diperolehi.
    8) Memenangi tempat pertama bagi Reka bentuk & Pembangunan Satelit dalam
    Pertandingan Reka bentuk & Pembangunan Model Nano Satelit (CANSAT) 2008, di
    peringkat nasional. Seterusnya telah mewakili Malaysia dalam Pertandingan
    CANSAT di Madrid, Spain 2008, dan memenangi tempat pertama dalam kategori
    terbuka dan tempat ketiga dalam kategori telemetri.
    9) Memenangi Anugerah Saintis Muda Selangor 2007.
    Di samping itu, UNISEL, baru-baru ini iaitu pada 29-30 Oktober telah berjaya
    menganjurkan persidangan antarabangsa The First Two in One Conference: 1st
    Malaysia-Indonesia Private University Linkages Conference (UIBL 2009) & 2nd World
    Conference of International Entrepreneur & Family Business Association (IEFBA 2009).
    Persidangan ini telah berjaya mengumpulkan ahli akademik dan para pengusaha dan
    ahli perniagaan dari beberapa buah negara seperti Indonesia, Singapura, Australia,
    Filipina, United Kingdom, Finland, Afrika Selatan, Nigeria dan Papua New Guinea.
    Pada bulan Disember 2009 ini pula, UNISEL akan menganjurkan satu lagi persidangan
    antarabangsa iaitu Persidangan Akademi Sains Dunia Islam/Islamic World Academy of
    Sciences (IAS) yang dijangka akan dihadiri oleh lebih daripada 150 orang saintis Islam
    dari seluruh dunia.
    UNISEL akan terus mencipta nama dalam penghasilan inovasi dan akan memantapkan
    kegiatan penyelidikan dan penulisan di kalangan staf akademik agar UNISEL terus
    berdaya saing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
    UNISEL juga akan meningkatkan bilangan pelajar, bukan sahaja pelajar tempatan tetapi
    juga pelajar antarabangsa. Staf akademik daripada luar negara akan juga
    dipertingkatkan. Untuk menjamin kecemerlangan, penggunaan bahasa antarabangsa
    iaitu Bahasa Inggeris akan dipertingkatkan di kalangan staf dan pelajar.

Lampiran

Tiada Lampiran.