Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

55) PENDIRIAN KERAJAAN NEGERI DALAM ISU LEBUHRAYA BERTOL

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Bin Ibrahim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Pendirian Kerajaan Negeri terhadap empat lagi projek lebuhraya bertol dalam Bajet 2015 iaitu SUKE, Lebuhraya Pantai Barat, DASH dan EKVE sedangkan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) melaporkan bahawa penggunaan jalanraya dan lebuhraya di Selangor telah melampaui kapasiti lebih 60%

    Kerajaan Negeri tidak pernah menghalang sebarang pembangunan yang akan dilaksanakan di dalam Negeri Selangor selagi mana ia mendatangkan keuntungan dan kebaikan kepada rakyat. Namun, sebarang pelaksanaan pembangunan projek lebuhraya di Negeri Selangor perlu mematuhi peraturan Seksyen 20 (A) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang memperuntukkan tiada seorang pun boleh memulakan, mengusahakan atau menjalankan apa-apa pemajuan selain menurut kebenaran merancang yang diberikan kepadanya. Seksyen 20 (A) Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) menghendaki setiap jabatan atau agensi kerajaan berunding dengan Jawatankuasa Perancang Negeri (JPN) berkenaan aktiviti pemajuan yang hendak dijalankannya. Ini adalah bagi membolehkan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) mengambil maklum berkenaan dengan projek pembangunan yang hendak dilaksanakan dan mengelakkan kemungkinan pemajuan berkenaan terkeluar daripada perancangan dan seterusnya menyulitkan kerja-kerja penyelarasan pembangunan fizikal di kawasan tersebut. Kerajaan Negeri juga menggunapakai Seksyen 18(i) Akta 172 yang memperuntukkan tiada seorang pun boleh menggunakan atau membenarkan sesuatu tanah atau bangunan digunakan melainkan menurut Rancangan Tempatan. Tindakan ini bertujuan untuk memastikan supaya setiap pembangunan ditelitikan terlebih dahulu oleh jabatan dan agensi yang telah dipertanggungjawabkan di peringkat Negeri sebelum sebarang penelitian oleh Pihak Berkuasa Negeri. Kuasa-kuasa ini telah pun diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Jadual Kesembilan, Senarai II (Senarai Negeri) dan bidang kuasa Kerajaan Negeri untuk menyelaras Pentadbiran Tempatan (Pihak Berkuasa Tempatan).

    Berdasarkan fakta Kajian Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 yang disediakan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Negeri Selangor telah menunjukkan peningkatan nisbah penggunaan pengangkutan awam berbanding pengangkutan persendirian iaitu pada tahun 2008 (12:88), 2012 (25:75) dan 2014 (27:73), maka Kerajaan Negeri Selangor berpandangan bahawa terdapat keperluan untuk meningkatkan pelaburan dalam pembangunan infrastruktur awam. Jurang nisbah yang besar antara penggunaan pengangkutan awam dan penggunaan pengangkutan persendirian adalah ekoran penumpuan Kerajaan yang begitu lama terhadap pembangunan infrastruktur jalanraya dan lebuhraya berbanding pengangkutan awam. Penumpuan kepada pembangunan infrastruktur jalanraya dan lebuhraya ini telah ditumpukan sejak 20 hingga 30 tahun sebelum ini.

    Oleh itu, usaha pembangunan lebuhraya dalam bandar tidak dapat menyelesaikan masalah kesesakan dalam jangka masa panjang. Anggaran purata kenaikan penggunaan kenderaan persendirian adalah 3% setahun. Pembangunan lebih banyak lebuhraya dalam bandar telah menyumbang kepada kenaikan kos hidup rakyat. Aksesibiliti rakyat terhadap pengangkutan awam yang terhad menyebabkan rakyat tiada pilihan selain menggunakan kenderaan persendirian untuk bergerak ke tempat kerja atau untuk tujuan lain. Tindakan ini akhirnya menyebabkan kos sara hidup meningkat akibat keperluan membayar tol serta kos petrol. Kualiti hidup rakyat juga semakin menurun kerana terpaksa menghabiskan masa yang lama dalam kesesakan lalu lintas.

    Atas dasar kepedulian kepada rakyat, Kerajaan Negeri telah mengemukakan cadangan supaya pembangunan infrastruktur pengangkutan awam diberi keutamaan oleh Kerajaan Persekutuan selaras dengan perancangan untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama berbanding kenderaan persendirian di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor mengesyorkan nisbah minima pengangkutan awam kepada penggunaan kenderaan persendirian ialah 60:40.

    Kerajaan Negeri Selangor mengamalkan pendekatan mengambil kira pandangan orang ramai dalam menentukan kelulusan sesebuah projek agar ia membawa manfaat menyeluruh. Selain daripada pembangunan ekonomi, Pentadbiran Negeri Selangor turut menitikberatkan sumbangan sosial dan manusiawi dalam setiap projek yang diluluskan. Dasar pembangunan berkualiti, rakyat dipeduli akan menjadi teras dalam setiap pembangunan di Negeri Selangor.

    Oleh itu, Kerajaan Negeri akan hanya mempertimbangkan permohonan bagi pelaksanaan mana-mana lebuhraya di Negeri Selangor dengan syarat-syarat seperti berikut:-

    • Kajian Impak Trafik (Traffic Impact Assesment – TIA) mestilah menguntungkan kepada pengguna lebuhraya dan juga penduduk sekitar dengan mengambil kira jajaran yang memberikan manfaat terbaik;
    • Pendedahan kepada umum tentang kadar tol termasuklah cadangan kenaikannya dan juga kadar pulangan pelaburan (return of investment –ROI); dan
    • Pendedahan kepada umum ke atas perjanjian konsesi.

    Maka, mana-mana pihak yang terlibat dalam apa jua bentuk pembangunan di Negeri Selangor mestilah mematuhi setiap proses dan prosedur yang ditetapkan oleh agensi-agensi teknikal seperti Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD), Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan seumpamanya. Pematuhan kepada syarat-syarat dan peraturan yang telah ditetapkan adalah sangat perlu supaya Kerajaan Negeri dapat mempertahankan rakyat daripada menerima masalah-masalah pencemaran, kesihatan, banjir, kemalangan dan sebagainya.

    Kerajaan Negeri turut mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan memberi penekanan dan mengambil langkah-langkah berikut:

    1. P erjanjian yang adil (tidak berat sebelah) iaitu, tidak memihak hanya kepada pemegang konsesi;
    2. Meletakkan kepentingan awam sebagai keutamaan;
    3. Memasukkan ke dalam perjanjian klausa penamatan awal (early termination clause) iaitu sekiranya pemegang konsesi telah mencapai projected profit bagi projek ini lebih awal dari tempoh konsesi tamat, maka perjanjian hendaklah ditamatkan lebih awal; dan
    4. Pra-syarat tambahan seperti perjanjian konsesi tidak terikat dengan Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).

Lampiran

Tiada Lampiran.