Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

223) PENGAMBILAN TANAH REZAB MELAYU

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Mohon YAB Dato' Menteri Besar mempertimbangkan semula atau membatalkan pengambilan 27 lot Tanah Rizab Melayu di Kampung Sesapan Minangkabau/Kampung Sungai Jai, Beranang kerana ia menghakis jumlah Tanah Simpanan Melayu melalui penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960. Kira-kira 53,6012 meter persegi tanah kepunyaan orang-orang Melayu di kampung itu diambil bagi kegunaan membina jalanraya Taman Senangin (nama lama:Bandar Akademia) yang terletak di Negeri Sembilan. Sebagai makluman, surat bantahan penduduk telah dikemukakan kepada YAB Dato' Menteri Besar pada 10 Disember 2014 namun dukacita sehingga kini belum mendapat jawapan.

    Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengambilan Tanah Negeri Selangor (Seksyen 3C, APT 1960) yang telah diadakan pada 14 Julai 2014 dipengerusikan oleh YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor telah memperakui dan meluluskan pengambilan tersebut dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti merizabkan di bawah Seksyen 62, KTN 1965 setelah jalan siap dibina.

    Untuk makluman YB Datuk, Ahli Jawatankuasa tersebut adalah terdiri daripada UPEN, JPBD, JPPH, MPKj, PTD Hulu Langat dan PTGS sebagai setiausaha/urus setia (Kaedah 8 APT 1960).

    Pihak syarikat perlu mencari ganti Tanah Rizab Melayu yang terlibat selaras dengan Pekeliling PTG Selangor, Bil. 7/2001 (dasar dan garis panduan pembatalan dan penggantian Tanah Rizab Melayu Selangor Darul Ehsan). Namun untuk makluman YB Datuk, Tanah Rizab Melayu yang dibina jalan di atasnya tidak perlu digantikan.

    Kertas Ringkasan permohonan pengambilan ini telah dikemukakan kepada MMKN untuk pertimbangan kelulusan dan seterusnya MMKN yang bermesyuarat pada 6 Ogos 2014 dan disahkan pada 13 Ogos 2014 telah menimbang dan meluluskan permohonan pengambilan tersebut.

    Untuk makluman YB Datuk, sebarang ketidakpuasan hati pengambilan tanah, orang yang berkepentingan boleh membuat bantahan terhadap projek tersebut dengan merujuk kepada Mahkamah Tinggi.

Lampiran

Tiada Lampiran.