Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

287) Pengangguran

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan secara terperinci, inisiatif Kerajaan Negeri dalam usaha mengurangkan pengangguran belia di Selangor?

    Dalam mengendalikan krisis kesihatan awam global berikutan penularan wabak Covid 19, peningkatan kadar pengangguran merupakan masalah yang membimbangkan khususnya kepada golongan belia. Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor menyedari isu pengangguran ini dan telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan dua (2) Program Karnival Kerjaya – Selangor Job Fair pada 15 Mac 2020 bertempat di Stadium Tertutup Kuala Selangor dan Selangor Mega Job Fair pada 3 dan 4 Oktober 2020 yang lalu di Shah Alam Convention Centre, Shah Alam. Program Selangor Job Fair bagi Daerah Kuala Selangor telah dirancang untuk diadakan pada awal tahun ini tetapi telah ditunda berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

    Manakala bagi pelaksanaan Program Selangor Mega Job Fair semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada awal Oktober 2020 yang lalu, telah dirancang untuk dilaksanakan dengan skala besar di mana terdapat peningkatan kadar pengangguran yang mendadak di Negeri Selangor. Oleh itu, program ini telah dirancang mengikut Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negeri dan telah mendapat persetujuan oleh Jawatankuasa Selangor Task Force Covid 19 (STFC).  Sebanyak 60 majikan telah terpilih untuk menyertai karnival kerjaya ini dengan 6,832 jumlah kekosongan jawatan. Jumlah pencari kerja yang telah membuat pra – pendaftaran adalah seramai 9,969 orang. Namun begitu, Selangor Mega Job Fair ini juga terpaksa ditunda berikutan peningkatan jumlah penularan Covid 19 pada ketika itu. Program Selangor Job Fair ini akan dilaksanakan semula secara tertutup pada November 2020 di empat (4) daerah iaitu daerah Petaling, Kuala Selangor, Gombak dan Hulu Langat.

    Kerajaan Negeri Selangor juga mempunyai jalinan kerjasama dengan pihak JobsMalaysia di mana laman web JobsMalaysia berfungsi sebagai padanan dan carian pekerjaan atas talian bagi seluruh rakyat Malaysia. Pencari kerja khususnya belia boleh mendaftar di laman web www.jobsmalaysia.gov.my untuk mencari pekerjaan semasa pasca Covid 19 dan mendapat notifikasi padanan pekerjaan melalui emel yang telah didaftarkan secara percuma.

    Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor telah meperkenalkan inisiatif Roda Darul Ehsan  (Ride) dengan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi meraikan penglibatan orang muda dalam ekonomi gig serta bakal memperkasakan lebih ramai anak muda Selangor berumur 17 hingga 30 tahun.
    Inisiatif ini boleh membantu hampir 3,000 orang muda Selangor dengan subsidi Lesen Memandu B2 secara percuma dan menjana peluang sumber pendapatan buat diri sendiri serta keluarga melalui perkhidmatan penghantaran.

Lampiran

Tiada Lampiran.