Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

188) PENGECILAN OPERASI KUMPULAN PKPS

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Merujuk kepada Usul No. 15 Tahun 2010 berkenaan ÓKeputusan Mengecilkan Operasi Kumpulan PKPSÓ: Apakah tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri terhadap usul ini?

    Pada awal tahun 2009, PKPS telah mengubah hala tujunya selaras dengan perubahan yang berlaku di peringkat Jemaah Ahli dan pengurusan atasan PKPS. Pengubahan hala tuju ini dibuat untuk menjadikan PKPS sebagai sebuah organisasi korporat yang berdaya maju dan kukuh dengan penumpuan yang lebih fokus kepada aktiviti-aktiviti projek-projek pertanian komersil.

    Tindakan-tindakan yang telah diambil dalam pengecilan operasi Kumpulan PKPS adalah seperti berikut:

    • Pengecilan Operasi di Ibu Pejabat PKPS

    Operasi dikecilkan dengan menutup Bahagian Pemasaran dan Bahagian Ameniti Sosial PKPS.

    Bahagian Pemasaran ditutup kerana tugas dan tanggungjawab pegawai dan kakitangan di Bahagian Pemasaran dan Operasi bertindih. Bagi menangani masalah ini, kedua-dua bahagian digabungkan di bawah Bahagian Operasi dan melapor terus kepada Timbalan Pengurus Besar Kumpulan (Pembangunan Perniagaan).

    Bahagian Ameniti Sosial pula ditutup kerana program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dipusatkan di bawah Pejabat Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor dan sumbangan PKPS dicarumkan terus ke pusat tersebut.

    Sementara itu, Bahagian Perancangan Perniagaan dikecilkan daripada empat (4) orang kakitangan kepada dua (2) orang kakitangan. Dua (2) orang kakitangan tersebut telah ditempatkan di projek-projek PKPS.

    Secara keseluruhannya, PKPS telah menutup dan mengecilkan sebahagian daripada operasi Bahagian-bahagian yang ada supaya pegawai dan kakitangan lebih efisien dalam menjalankan tugas disamping dapat mengurangkan kos.

    • Pengecilan operasi Anak-anak Syarikat

    Anak syarikat yang telah ditutup operasi ialah MAIS Food Industries Sdn. Bhd. berkuatkuasa pada 1 April 2009 dan PKPS Landscaping Services Sdn. Bhd. berkuatkuasa pada 1 Julai 2009.

    Penutupan ini adalah selaras dengan hala tuju baru PKPS iaitu untuk meneruskan operasi anak-anak syarikat yang berdaya maju sahaja dan menutup anak syarikat yang bermasalah dan tidak dapat dipulihkan bagi mengurangkan kerugian yang berterusan (cut loss).

    Keputusan penutupan dibuat dengan mengambil kira prestasi untung/(rugi) syarikat, kedudukan aliran tunai syarikat dan prospek perniagaan di masa hadapan syarikat yang terlibat.

Lampiran

Tiada Lampiran.