Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

68) PENGEMBANGAN EKONOMI

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Negeri Selangor mempunyai kelebihan dari segi sistem pengangkutan udara iaitu lapangan antarabangsa negara adalah terletak di Selangor. Apakah sektor yang boleh mendapat manfaat daripadanya?

    Pertumbuhan dan pengembangan ekonomi bergantung kepada penyediaan infrastruktur serta kemudahan awam yang antara lainnya termasuklah sistem pengangkutan udara yang efisien. Negeri Selangor menjadi pintu masuk serta pusat import dan eksport utama negara berikutan terdapatnya pembangunan lapangan terbang antarabangsa yang terdiri daripada KLIA, KLIA2 dan Lapangan Terbang Subang. Sektor pelancongan dilihat mendapat manfaat terus daripada keadaan ini apabila statistik daripada Tourism Malaysia menunjukkan terdapat peningkatan sebanyak 18.2% kedatangan pelancong luar negara pada Januari 2014 berbanding Januari 2013. Selain daripada itu, kelebihan ini juga telah menimbulkan inisiatif serta menjadi pemangkin untuk meningkatkan pelbagai kemudahan dan merancakkan aktiviti-aktiviti dalam sektor perkhidmatan di sekitar kawasan pembangunan bagi memastikan pertumbuhan sektor pelancongan secara berterusan. Dari sudut komersial, dalam dunia yang mudah dihubungkan sekarang, kemampuan menawarkan perkhidmatan penerbangan berkualiti tinggi akan menjadi pemangkin untuk meningkatkan sektor perdagangan dan pelaburan dan akan dapat menyokong usaha penjanaan kekayaan ke arah menjadikan Selangor sebuah negeri berpendapatan tinggi.

Lampiran

Tiada Lampiran.