Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

174) PENGENDALIAN ADUAN KEPADA KERAJAAN NEGERI

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Nasir Bin Hashim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Pengendalian aduan yang ditujukan kepada Dato Menteri Besar kini, biasanya dirujuk oleh pejabat Yang Amat Berhormat kepada Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan-jabatan atau agensi-agensi Kerajaan yang lain . Jawapan yang diterima daripada agensi tersebut seterusnya di hantar ke pengadu tersebut dan aduan tersebut berakhir dianggap selesai. Bagaimanakah pihak Kerajaan Negeri dapat memastikan bahawa laporan yang diberikan oleh PBT, Jabatan atau agensi tersebut adalah tepat dan memenuhi kehendak pengadu tersebut ?

    Pengendalian aduan yang ditujukan kepada YAB Dato’ Menteri Besar Selangor akan dikemukakan secara terus kepada Jabatan/Agensi Kerajaan yang berkaitan untuk maklum balas lanjut. Di dalam meneliti laporan yang disediakan oleh Jabatan/Agensi tersebut, beberapa perkara sentiasa diberi perhatian seperti:

    1. Punca sebenar permasalahan tersebut berlaku
    2. Legal standi pengadu dalam perkara yang diadukan;
    3. Legaliti tindakan yang dibuat oleh Jabatan/Agensi sama ada mengikut peraturan serta undang-undang yang sedang berkuat kuasa; DAN
    4. Adakah tindakan Jabatan/Agensi tersebut tindakan yang terbaik dalam menyelesaikan permasalahan yang dibangkitkan.

    Secara umumnya, kesemua aspek di atas telah pun diberi penjelasan yang sewajarnya oleh Jabatan/Agensi. Walaubagaimanapun, Pejabat YAB Dato’ Menteri Besar Selangor dan Bahagian Korporat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sering mendapat aduan berulang daripada pihak pengadu yang masih tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat Jabatan/Agensi sama ada dari pengadu yang sama atau pihak lain yang terkesan akibat keputusan itu.

    Di dalam usaha memastikan semua pihak berpuas hati dan mencapai situasi menang-menang (win-win situation), Pejabat Menteri Besar Selangor telah mengesyorkan supaya Jabatan/Agensi yang menerima aduan berulang untuk mengadakan rundingan bersama pihak-pihak yang berkepentingan supaya keputusan yang dibuat adalah yang paling adil dan saksama.

    Walaubagaimanapun, jika permasalahan yang dimaksudkan terlalu rumit dan khususnya yang melibatkan konflik dalam masyarakat umum, Jabatan/Agensi adalah disyorkan supaya membawa permasalahan tersebut untuk perhatian Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) atau Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Melalui platform yang diwujudkan ini, Jabatan/Agensi boleh menyenaraikan pilihan-pilihan yang ada untuk diputuskan oleh mesyuarat. Kerajaan Negeri Selangor memberi jaminan bahawa setiap permasalahan rakyat yang mempunyai merit serta asas akan diberi perhatian sewajarnya. Prinsip kepentingan umum (public interest) sentiasa menjadi asas pertimbangan kepada segala keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri.

    Justeru itu, mana-mana pihak yang masih terkilan dengan keputusan Kerajaan Negeri Selangor yang didapati tidak memihak kepada mereka harus memahami dan mengamalkan sikap bertolak ansur kerana keputusan yang dibuat itu pada asasnya telah mengambil kira semua faktor terutamanya kepentingan umum

    (public interest).

Lampiran

Tiada Lampiran.