Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

165) PENGGERAK BELIA TEMPATAN

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Pelaksanaan Penggerak Belia Tempatan disandarkan kepada PBT sedangkan ianya merupakan satu program kritikal Kerajaan Negeri. Ia merupakan dasar penting yang perlu mengembangkan dasar-dasar sokongan di peringkat pelaksanaan. Selaras dengan prinsip kakitangan awam hanya sebagai pelaksana dan tidak sewajarnya menerajui penggubalan dasar-dasar kerajaan. Bukankah lebih tepat pelaksanaan Penggerak Belia Tempatan diletakkan di bawah pentadbiran ADUN?

    Penggerak Belia Tempatan atau lebih dikenali dengan PeBT mempunyai 3 peringkat struktur organisasi iaitu Negeri, PBT dan Zon. Pada peringkat negeri struktur ini dipengerusikan oleh YAB Dato’ Menteri Besar yang merangkap sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan. Pada peringkat PBT pula, ia dipengerusikan oleh Datuk Bandar / Yang Dipertua PBT.

     

    Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pada 17 Jun 2009 telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2,822,400 setahun bagi tujuan pelaksanaan program dan elaun PeBT peringkat Zon. Untuk makluman Sidang Dewan, PeBT peringkat Zon merupakan jentera utama dalam menggerakkan program-program belia dan dasar-dasar Kerajaan Negeri di peringkat akar umbi. Menyedari tanggungjawab yang berat ini, maka ADUN diberi peranan sebagai penasihat bagi membantu Pengerusi PeBT yang terdiri daripada kalangan belia dalam usaha membangunkan belia di kawasan tersebut.

     

    Tujuan utama Kerajaan Negeri memberi tanggungjawab kepada belia untuk menyandang sebagai Pengerusi PeBT peringkat Zon adalah untuk membuka peluang kepada belia-belia negeri Selangor untuk memimpin belia-belia tempatan. Tambahan pula, golongan belia adalah lebih layak dan sesuai untuk mempengaruhi dan membawa amanat Kerajaan kepada golongan seusianya.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.