Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

71) PENGGERAK BELIA TEMPATAN (PEBT)

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Zawawi Bin Ahmad Mughni

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah kaedah penilaian prestasi PeBT yang dilantik?

    Kerajaan Negeri Selangor telah menubuhkan Penggerak Belia Tempatan (PeBT)  bertujuan untuk melahirkan kepimpinan belia yang berwibawa yang dapat menjadi ejen perubahan kepada golongan belia di Negeri Selangor serta bertindak sebagai jentera pelaksana Kerajaan Negeri dalam melaksanakan dasar-dasar berkaitan pembangunan belia di peringkat akar umbi.

     

    Perancangan sesuatu program pembangunan belia di bawah Penggerak Belia Tempatan (PeBT) adalah berdasarkan kepada 10 teras yang terkandung di dalam Dasar Belia Negeri Selangor yang menjadi tonggak kepada pembangunan belia yang mampan. Pencapaian sesuatu program itu dinilai berdasarkan kepada kejayaan sesuatu pesanan atau input yang cuba disampaikan melalui program-program yang dilaksanakan dapat disampaikan kepada golongan sasaran dan seterusnya dapat diaplikasikan untuk pembangunan generasi muda Selangor.

     

    Di samping itu, pemerkasaan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) juga akan diperkukuhkan menerusi program dan latihan selaras dengan kehendak Generasi Muda Selangor. Antara program dan latihan yang akan dianjurkan adalah Program Latihan Pemantapan Organisasi dan Kepimpinan dalam usaha untuk melahirkan PeBT yang sentiasa berkaliber, komited dan mempunyai pemikiran yang luas ke arah pembangunan generasi muda sebagai penggerak kepada pembangunan negara pada masa akan datang.

     

    Kemajuan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) di Selangor menunjukkan peningkatan yang lebih positif dalam menyumbangkan idea-idea untuk menggerakkan generasi muda dan juga dengan penglibatan mereka dalam program-program pembangunan generasi muda. Untuk makluman, bermula tahun 2016 sehingga kini, PeBT dilantik di kalangan generasi muda yang berumur 30 tahun ke bawah yang amat sesuai dengan peredaran masa dan keperluan generasi muda pada masa kini.

     

    Seterusnya, Kerajaan Negeri juga telah menambahbaik proses pemilihan dan pelantikan Pengerusi Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Negeri Selangor untuk penggal 2018/2020 dengan menambahbaik tatacara pencalonan PeBT.

     

    Tatacara pencalonan ini bermula dengan penerimaan cadangan calon oleh PBT daripada Ahli Dewan Negeri dan PBT perlu membuat pelarasan pemilihan calon PeBT tersebut. Pencalonan ini hendaklah mengikut syarat-syarat pelantikan Pengerusi PeBT dan Ahli Jawatankuasa PeBT Peringkat Zon. Seterusnya, pihak PBT perlu membuat proses temu duga yang akan melibatkan Ahli Majlis, Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) dan Wakil Pejabat DUN yang mana korum temu duga mestilah sekurang-kurangnya 3 orang ahli.

     

    Kemudian, senarai calon yang telah lulus temuduga perlu dikemukakan kepada pihak Sekretariat Belia Negeri Selangor untuk semakan rekod jenayah. Sekiranya  terdapat calon PeBT yang mempunyai rekod jenayah, pihak PBT perlu membuat pencalonan semula. Manakala bagi calon yang telah lulus, tempoh percubaan akan diberikan selama 3 bulan bagi menjalankan perkhidmatan sebagai PeBT di zon yang akan ditetapkan. Sekiranya terdapat PeBT yang tidak aktif sepanjang tempoh percubaan tersebut, maka perkhidmatan mereka akan ditamatkan dan PBT perlu membuat pencalonan semula bagi pelantikan PeBT yang baru.

     

    Untuk makluman, kaedah yang digunapakai untuk menilai prestasi PeBT yang dilantik, adalah melalui tiga (3) aspek utama iaitu jumlah penggunaan peruntukan program yang disediakan, konsistensi tuntutan elaun bulanan PeBT serta komitmen secara menyeluruh sebagai PeBT. Penilaian ini dilaksanakan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), di mana setiap pengerusi PeBT akan dinilai berdasarkan Laporan Keaktifan PeBT.

    Selain itu, peruntukan penganjuran program untuk setiap Pengerusi PeBT adalah sebanyak RM5,000.00 bagi tempoh satu (1) tahun. Peruntukan ini mesti habis digunakan bagi penganjuran program. Sekiranya peruntukan ini tidak habis digunakan, ini bermakna Pengerusi PeBT tersebut dilihat tidak kompeten kerana gagal memaksimumkan penggunaan peruntukan yang diberikan.

     

    Seterusnya, pihak MSNS akan memantau prestasi dan keaktifan Pengerusi PeBT secara konstruktif. Mereka yang tidak aktif dan tidak proaktif akan dinasihati terlebih dahulu oleh Pegawai Penyelaras PeBT dari MSNS dan juga melalui Pengerusi Induk PeBT. Jika tidak ada sebarang perubahan positif dalam tempoh pemantauan 3 bulan terakhir, pihak MSNS akan mencadangkan nama-nama pengerusi PeBT yang tidak aktif beserta laporan untuk digugurkan terus daripada jawatan.

     

    Ahli Dewan Negeri (ADN) boleh mengambil langkah untuk menasihati dan memberi peringatan kepada Pengerusi PeBT yang tidak aktif tersebut. Sekiranya tiada perubahan, Ahli Dewan Negeri tersebut boleh menghantar nama PeBT berkenaan ke MSNS untuk tindakan selanjutnya.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.