Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

79) PENGGERAK BELIA TEMPATAN (PEBT)

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Perlantikan pengerusi-pengerusi PeBT tahun 2019 agak lambat dan kurang efisyen jika berbanding dengan sebelum ini. Saya memahami keadaan ini berlaku disebabkan sesi temu duga yang baru. Apakah usaha yang akan dibuat demi mengatasi masalah ini?

    Kerajaan Negeri menitikberatkan aspek pembangunan di kalangan belia sebagai pemaju pembangunan negara pada masa akan datang.
    Sehubungan itu, bermula pada tahun 2009, Kerajaan Negeri telah melantik seramai 288 orang Penggerak Belia Tempatan (PeBT) yang terdiri daripada golongan belia sebagai agen penggerak belia Negeri Selangor. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1,396,800.00 setahun bagi peruntukan elaun dan sebanyak RM1,440,000.00 untuk peruntukan program Penggerak Belia Tempatan (PeBT) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
    Berikutan itu, kemajuan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) di Selangor menunjukkan peningkatan yang lebih positif dalam menyumbangkan idea-idea untuk menggerakkan generasi muda dan juga dengan penglibatan mereka dalam program-program pembangunan generasi muda. Pelaksanaan program-program tersebut telah dapat memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk mendekati masyarakat serta mendengar keluhan dan kehendak masyarakat sejajar dengan tugas dan tanggungjawab seorang pemimpin.
    Untuk makluman, bagi tahun 2016 sehingga kini, PeBT dilantik di kalangan generasi muda yang berumur 30 tahun ke bawah yang amat sesuai dengan peredaran masa dan keperluan generasi muda pada masa kini.
    Di samping itu, Kerajaan Negeri telah menambahbaik proses pemilihan dan pelantikan Pengerusi Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Negeri Selangor untuk penggal 2018/2020 dengan menambahbaik tatacara pencalonan PeBT. Tatacara pencalonan ini bermula dengan penerimaan cadangan calon oleh PBT daripada
    Ahli Dewan Negeri dan PBT perlu membuat pelarasan pemilihan calon PeBT tersebut. Pencalonan ini hendaklah mengikut syarat-syarat pelantikan Pengerusi PeBT dan Ahli Jawatankuasa PeBT Peringkat Zon. Seterusnya, pihak PBT perlu membuat proses temu duga yang akan melibatkan Ahli Majlis, Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) dan Wakil Pejabat DUN yang mana korum temu duga mestilah sekurang-kurangnya 3 orang ahli. Kaedah temu duga ini digunakan untuk membuat pemilihan dan penilaian terhadap calon Pengerusi PeBT agar mereka yang dipilih adalah terdiri daripada bakal pemimpin yang berkredibiliti, berkarisma dan berkepimpinan. Justeru itu, segala dasar dan polisi Kerajaan Negeri akan dapat disampaikan ke peringkat akar umbi dan memastikan penerangan secara komprehensif dan menyeluruh dapat dilaksanakan.
    Untuk makluman, melalui temuduga tersebut, seramai 217 orang Pengerusi PeBT bagi sesi 2019/2020 telah dilantik berkuatkuasa pada 1 Januari 2019. Berikutan, proses temu duga kedua akan dibuat bermula 18 Mac sehingga 30 Mac 2019 untuk mengisi kekosongan 67 orang pengerusi yang belum dilantik.

Lampiran

Tiada Lampiran.