Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

177) PENGGERAK BELIA TEMPATAN (PEBT)

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Selangor mentakrifkan definisi belia dari umur 15 sehingga 40 tahun. Namun begitu, had umur untuk PeBT adalah sehingga 30 tahun sahaja. Adakah Kerajaan berhasrat untuk meningkatkan had umur PeBT kepada 40 tahun supaya selaras dengan definasi belia Negeri Selangor?

    Kerajaan Negeri meneliti dengan rapat pindaan Rang Undang-Undang Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Akta 668) yang menghadkan umur belia dari 40 ke 30 tahun seperti yang telah diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

    Kedudukan belia tidak disebut dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan malah senarai-senarai negeri dan persekutuan, iaitu senarai 1, 2 dan 3 tidak menyebut langsung tentang definisi belia. Dengan kata lain, negeri tidak terikat kepada akta atau peraturan yang ditetapkan oleh persekutuan berkaitan belia.

    Bagi pertubuhan yang didaftarkan dibawah pendaftar belia adalah tertakluk kepada akta pertubuhan yang baharu.

     

    Persoalannya adalah dimanakah tafsiran belia di bawah Kerajaan Negeri? Jawapannya adalah belia negeri ditafsirkan dalam Dasar Belia Negeri Selangor yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada tahun 2014 yang menyatakan umur memegang jawatan bagi belia adalah 15-30 tahun. Walaubagaimanapun, program-program atau insentif-insentif Kerajaan Negeri merangkumi mereka yang berumur sehingga 40 tahun, seperti Insentif Perkahwinan Belia dan lain-lain insentif yang Kerajaan Negeri berpandangan diperlukan.

    Ini kerana sebahagian besar belia Selangor berumur 30 tahun ke atas masih aktif dalam program pembangunan belia, aktiviti sukan dan program ‘outdoor’ dan Selangor tidak akan meminggirkan mereka.

    Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dan kekal komited bersama Kementerian Belia dan Sukan serta pertubuhan-pertubuhan belia lain dalam setiap usaha pembangunan belia di Selangor secara khasnya dan Malaysia secara amnya.

    Sekiranya Yang Berhormat mempunyai cadangan lain, saya harapkan cadangan itu boleh dimasukkan dalam perbahasan untuk pertimbangan Kerajaan Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.