Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

190) PENGGERAK BELIA TEMPATAN

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk memperkasakan Penggerak Belia Tempatan bagi Pembangunan Generasi Muda di masa hadapan?

    Kerajaan Negeri Selangor telah menubuhkan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) bertujuan untuk melahirkan kepimpinan belia yang berwibawa yang dapat menjadi ejen perubahan kepada golongan belia di Negeri Selangor serta bertindak sebagai jentera pelaksana Kerajaan Negeri dalam melaksanakan dasar-dasar berkaitan pembangunan belia di peringkat akar umbi.

    Perancangan sesuatu program pembangunan belia di bawah Penggerak Belia Tempatan (PeBT) adalah berdasarkan kepada 10 teras yang terkandung di dalam Dasar Belia Negeri Selangor yang menjadi tonggak kepada pembangunan belia yang mampan. Pencapaian sesuatu program itu dinilai berdasarkan kepada kejayaan sesuatu pesanan atau input yang cuba disampaikan melalui programprogram yang dilaksanakan dapat disampaikan kepada golongan sasaran dan seterusnya dapat diaplikasikan untuk pembangunan generasi muda Selangor.

    Di samping itu, pemerkasaan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) juga akan diperkukuhkan menerusi program dan latihan selaras dengan kehendak Generasi Muda Selangor. Antara program dan latihan yang akan dianjurkan adalah Program Latihan Pemantapan Organisasi dan Kepimpinan dalam usaha untuk melahirkan PeBT yang sentiasa berkaliber, komited dan mempunyai pemikiran yang luas ke arah pembangunan generasi muda sebagai penggerak kepada pembangunan negara pada masa akan datang.

    Seterusnya, Kerajaan Negeri juga akan mengambil inisiatif untuk mewujudkan Blueprint Pembangunan Generasi Muda 2018-2022 yang akan dijadikan sebagai asas gerak kerja PeBT dan juga sebagai satu panduan dalam pembangunan generasi muda Negeri Selangor pada masa akan datang. Inisiatif ini akan melibatkan pemegang taruh yang berkaitan di dalam pembangunan generasi muda Negeri Selangor dan pemimpin Penggerak Belia Tempatan yang berada di peringkat akar umbi.

Lampiran

Tiada Lampiran.