Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

321) PENGGUNAAN AIR

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Ng Tien Chee

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah bekalan air mentah dan terawat di dalam Negeri

    Terdapat 34 Loji Rawatan Air di Negeri Selangor yang beroperasi untuk merawat air mentah dari sungai-sungai utama di Negeri Selangor antaranya seperti Sungai Selangor, Sungai Semenyih, Sungai Langat bagi membekalkan air terawat kepada SYABAS untuk diagihkan kepada pengguna di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan

    Dari segi reka bentuk, 34 loji boleh mengeluarkan sebanyak 4,606 JLH air terawat. Keupayaan optimum berdasarkan kepada rekod pengeluaran tertinggi yang pernah dicapai oleh kesemua loji ini adalah sebanyak 5,282 JLH. Namun jumlah air terawat yang boleh diagihkan oleh SYABAS kepada pengguna adalah berubah-ubah seperti berikut:-

     

    Bil Tarikh Keupayaan Agihan Air Terawat (JLH)
    1 12 Mac 2012 4371JLH
    2 19 Julai 2012 4411 JLH
    3 01 September 2012 4436 JLH
    4 22 Januari 2013 4546 JLH
    5 05 Mac 2013 4566 JLH
    6 01 April 2013 4661JLH
    7 01 Julai 2013 4686 JLH

     

    Manakala, purata jumlah air terawat yang dibilkan kepada pengguna setakat tahun 2013 adalah sebanyak 3014JLH sahaja.

    Berdasarkan data pengeluaran oleh 34 Loji Rawatan Air yang direkodkan sebanyak 4686 JLH dan data pengebilan yang direkodkan oleh SYABAS

     

    sebanyak 3014JLH, dianggarkan sebanyak 1672JLH atau 35% air terawat hilang sebagai air tidak berhasil (NRW). Justeru itu, sekiranya masalah NRW tidak diatasi, maka sebanyak mana jua air terawat dari mana-mana sumber yang dimasukkan ke dalam sistem agihan, sebanyak 35% akan hilang sebagai NRW sedangkan kos setiap meter padu air tersebut telah pun dikira dan ditanggung oleh pengguna dalam bentuk tarif.

    Di dalam beberapa perbincangan dengan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), adalah dicadangkan bahawa rizab bekalan air yang terbaik perlu disediakan adalah pada tahap 10% – 20% bagi mengurangkan gangguan bekalan air kepada pengguna.

    Berdasarkan kepada rizab bekalan air yang tipis, Kerajaan Negeri Selangor berpandangan bahawa selain dari menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk menyediakan kapasiti bekalan air yang mencukupi, adalah juga menjadi tanggung jawab Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan bahawa SYABAS selaku operator tunggal yang dipertanggungjawabkan dalam membekal dan mengagihkan air bersih kepada pengguna merupakan operator yang benar- benar berkemampuan dan kompeten dalam memenuhi tanggungjawab sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perjanjian Konsesi.

    Kegagalan SYABAS dalam menurunkan NRW kepada 19.98% seperti dijanjikan dalam perjanjian konsesi menunjukkan bahawa SYABAS merupakan operator yang tidak kompeten dan tidak berkemampuan dalam melaksanakan obligasi sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam Perjanjian Konsesi. Kegagalan SYABAS menyebabkan negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terlepas peluang untuk mendapatkan penjimatan kira-kira 663 JLH yang sepatutnya dihasilkan dari penurunan NRW seperti dijanjikan SYABAS. Kapasiti 663JLH itu adalah lebih kurang jumlah air yang dikeluarkan oleh Loji Sungai Semenyih yang dianggarkan boleh menampung keperluan 353,000 akaun atau dari bilangan orang, boleh menampung penggunaan untuk seramai 1.2 juta orang.

Lampiran

Tiada Lampiran.