Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

53) PENGGUNAAN BASIKAL

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Ng Sze Han

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah atau rancangan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan penggunaan basikal sebagai mod pengangkutan?

    1. Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pengangkutan Negeri Selangor melihat alternatif dan perancangan dalam menggalakkan penggunaan basikal perlu dipertingkatkan sebagai salah satu mod pengangkutan di Negeri Selangor. Ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk mencapai nisbah 40:60 bagi penggunaan kenderaan persendirian di jalan raya berbanding pengangkutan awam iaitu 40 kenderaan persendirian berbanding 60 pengangkutan awam
    2. Untuk tujuan itu, penyediaan laluan dan kemudahan basikal di tempat-tempat strategik seperti kawasan tumpuan ramai, tempat awam yang mempunyai connectivity dengan pengangkutan awam lain seperti bas, LRT, MRT atau komuter perlu terlebih dahulu disediakan dan diperbanyakkan supaya mudah untuk didapati serta digunakan bagi urusan harian. Peranan Pihak Berkuasa Tempatan amat penting bagi memastikan terdapat kemudahan seperti penyewaan basikal di lokasilokasi yang dapat menggalakkan penggunaan basikal sebagai mod pengangkutan.
    3. Selaras dengan itu juga, Kerajaan Negeri Selangor bersetuju menandatangani memorandum persefahaman dengan Kerajaan Tempatan Taipei bagi mewujudkan kerjasama dalam aspek Smart Transportation di mana pihak Taipei akan berkongsi pengalaman dan menyalurkan teknologi dalam mengendalikan sistem „U-bike‟ yang berjaya mendapat sambutan menggalakkan di negara Taiwan. Kerjasama ini dilihat dapat membantu hasrat Kerajaan Negeri yang bercadang untuk membina sistem penyewaan basikal di Selangor seterusnya meningkatkan penggunaan basikal di kalangan masyarakat.
    4. Langkah awal yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pengangkutan Negeri Selangor dalam meningkatkan penggunaan basikal sebagai mod pengangkutan adalah Program Pengangkutan Awam Sekali Seminggu (PPASS). Program ini telah dirasmikan oleh Y.A.B Dato Menteri Besar Selangor pada 19 Disember 2016 dan disertai oleh 50 orang penjawat awam di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang merangkumi pelbagai gred dan jawatan. PPASS merupakan usaha baru dalam menggalakkan penjawat awam untuk berbasikal ke tempat kerja dengan kemudahan connectivity pengangkutan awam yang lain seperti bas, komuter, LRT dan MRT. Usaha ini juga sebagai langkah permulaan dalam memupuk semangat dan menjadi contoh kepada masyarakat.
    5. Bagi tujuan mempertingkatkan kemudahan laluan basikal di semua PBT, Jawatankuasa Tetap Pengangkutan Negeri Selangor meletakkan sasaran 1000km laluan basikal bagi tempoh lima tahun. PBT disyaratkan untuk menyediakan laluan basikal sekurang-kurangnya 15 kilometer bagi Majlis Bandaraya dan Perbandaran manakala 10 kilometer bagi Majlis Daerah. Walau bagaimanapun, penyediaan laluan basikal adalah menggunakan peruntukan PBT sendiri. Oleh itu, PBT juga boleh meminta setiap pemaju di kawasan-kawasan pembangunan baru untuk membina dan menyediakan laluan basikal sebagai salah satu syarat dalam kelulusan Kebenaran Merancang. Kaedah ini dapat membantu PBT dalam memastikan kemudahan infrastruktur telah tersedia di kawasan-kawasan pembangunan tanpa melibatkan kos yang perlu dikeluarkan oleh PBT sendiri.
    6. Pada masa ini, Kerajaan Negeri mahupun Pihak Berkuasa Tempatan belum menentukan mana-mana agensi atau syarikat yang akan membekalkan perkhidmatan sewaan basikal kepada orang awam mahupun menetapkan lokasilokasi yang bakal ditawarkan kemudahan penyewaan basikal tersebut. Ianya masih di peringkat kajian dan penilaian oleh Pihak Berkuasa Tempatan untuk memastikan lokasi yang terpilih adalah sesuai dan tepat.   Namun begitu, untuk makluman Yang Berhormat Kinrara, Majlis Perbandaran Subang Jaya sedang mengkaji keperluan kemudahan sewa basikal yang ditawarkan oleh syarikat Obike dengan memberikan tempoh percubaan selama dua (2) bulan untuk menyediakan kemudahan penyewaan basikal di kawasan Subang Jaya bagi melihat permintaan serta penerimaan penduduk terhadap perkhidmatan tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.