Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

207) PENGGUNAAN BEG PLASTIK

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Zawawi Bin Ahmad Mughni

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejauh manakah kempen tanpa bag plastik berjaya mengurangkan penggunaan bag plastik?

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited dalam mempertingkatkan usaha mengurangkan penggunaan plastic dalam kalangan orang awam. Selain daripada Kempen Bebas Beg Plastik dan Kempen Kitar Semula Sampah, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pengguna telah melaksanakan penganjuran pelbagai program dan aktiviti bagi memupuk kesedaran orang awam mengenai bahaya penggunaan plastik khususnya plastik sekali guna seperti beg plastik, polistirena, straw plastik dan sebagainya.

    Kempen ”Hari Tanpa Beg Plastik” telah mula dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor seawal Januari 2010 dengan perlaksanaan pada hari terpilih iaitu setiap hari Sabtu. Kempen ini telah ditambah baik dengan pelaksanaan ”Hari Tanpa Beg Plastik” selama 7 hari seminggu yang bermula mulai 1 Januari 2017. Kempen yang diadakan ini adalah bertujuan mewujudkan kesedaran dalam kalangan pengguna mengenai bahaya beg plastik terhadap alam sekitar dan kesihatan. Menerusi kempen ini, pelbagai inisiatif dilaksanakan dalam siri promosi kempen dan program-program yang dianjurkan oleh pelbagai pihak termasuklah memperkasakan budaya untuk membawa beg sendiri ketika berbelanja.

    Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan kajian Sikap Penerimaan Kempen Beg Plastik di Negeri Selangor pada tahun 2018 bagi mendapatkan maklumat berkaitan keberkesanan kempen yang telah dijalankan berdasarkan survey terhadap responden yang dipilih dalam kalangan rakyat di seluruh negeri Selangor.

    Hasil kajian tersebut mendapati sebanyak 93% responden bersetuju dan sedar dengan penyertaan kepada kempen ini akan membantu dan menyelamatkan alam sekitar. Selain itu, 79% responden telah kerap membawa beg sendiri ketika membeli-belah setelah kempen ini dilancarkan. Selain itu, hasil dari kajian yang telah dijalankan juga mendapati sebanyak 76% responden tidak merasa terbeban dengan kempen ini dan 66% responden berpuas hati dengan pelaksanaan kempen ini. Hasil kajian ini menunjukkan kesan positif terhadap budaya membawa beg sendiri ketika berbelanja dalam kalangan pengguna di negeri Selangor seterusnya dapat mengurangkan penggunaan beg plastik sekali guna yang memberi risiko terhadap alam sekitar.

Lampiran

Tiada Lampiran.