Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

27) PENGGUNAAN PERUNTUKAN MARRIS

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimana Peruntukan MARRIS dapat digunakan untuk membaik pulih jalanjalan yang di dalam kawasan perumahan bertingkat?

    Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri atau peruntukan MARRIS dibuat di bawah peruntukan Perkara 109 (1) (b), Perlembagaan Persekutuan dengan tujuan untuk membantu Kerajaan Negeri menyelenggara jalan negeri di negeri masing-masing. Perbelanjaan peruntukan ini dibuat secara teliti berpandukan kepada Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian Jalan Negeri yang disediakan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF). Tafsiran istilah ‘Jalan Raya Negeri’ berdasarkan perenggan 3 garis panduan tersebut ialah jalan raya negeri yang disenggara oleh Jabatan Kerja Raya (JKR)

    Garis panduan yang sama turut menggunapakai tafsiran ‘Jalan Negeri’ yang dinyatakan pada Seksyen 5 dan Seksyen 6 (2) (b), Bahagian 2 Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi seperti berikut:-

    Seksyen 5

    Dalam bahagian ini dalam Jadual ini, ‘jalan negeri’ ertinya mana-mana jalan awam, selain jalan persekutuan, dan mana-mana jalan lain, selain jalan persekutuan yang boleh dilalui oleh orang ramai.

     Seksyen 6 (b)

    “ mana-mana batang jalan yang disenggarakan oleh sesuatu pihak berkuasa tempatan atas perbelanjaan Negeri hendaklah dikira sebagai disenggarakan oleh Jabatan Kerja Raya Negeri itu.”

    Sungguhpun begitu, jalan-jalan yang berada di dalam kawasan perumahan bertingkat adalah tergolong di dalam tafsiran “harta bersama” yang berada di bawah tanggungjawab pihak Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body – JMB) selaras dengan Seksyen 2, Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan & Pengurusan) 2007 (Akta 663). Jalan-jalan tersebut juga tidak diselenggara oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan tidak didaftarkan dalam Sistem MARRIS Online. Oleh yang demikian, peruntukan MARRIS tidak boleh digunakan secara langsung untuk membaikpulih jalan di kawasan perumahan bertingkat.

Lampiran

Tiada Lampiran.