Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

24) PENGKALAN DATA BERSEPADU RAKYAT (MISKIN) NEGERI SELANGOR

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kerajaan pernah menyuarakan tentang perancangan untuk membina pengkalan data secara bersepadu rakyat miskin/asnaf melibatkan jabatan kebajikan masyarakat, Lembaga zakat Selangor dan lain-lain. Apakah status terkini perancangan tersebut.

    Selari dengan dasar kerajaan “Dari kebajikan kepada berdikari” (Wellfare to workfare), Kerajaan Negeri akan membangunkan satu sistem yang dikenali sebagai “Workfare Information System” yang akan memberi fokus kepada golongan rakyat miskin/asnaf untuk menjana ekonomi dengan memberikan bantuan dan peluang untuk mereka menceburi bidang pekerjaan dan perniagaan dengan bimbingan khusus dari Kerajaan Negeri.

    Keutamaan juga akan diberikan kepada golongan-golongan terpinggir, pekerjapekerja yang kurang mahir dan berpendapatan rendah juga akan turut diberi peluang untuk menjana ekonomi sendiri melalui bantuan modal asas dan latihan bagi menceburi bidang-bidang yang dapat membantu mereka menjana dan mempertingkatkan pendapatan sendiri supaya taraf hidup mereka berubah dari masa ke semasa dan dapat menjalani kehidupan sama seperti warga Selangor yang lain.

    Selain dari itu, dengan adanya sistem ini, maklumat graduan-graduan dari keluarga miskin yang merupakan rakyat Selangor akan dikumpulkan dan Kerajaan Negeri akan memberi fokus kepada graduan yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan akan diberikan bimbingan, latihan dan kemahiran melalui program mentor-mentee bagi membaiki diri mereka untuk mempunyai kesungguhan yang tinggi, berdaya saing dan mempunyai sikap jati diri yang positif.  Kursus-kursus motivasi juga akan diberikan kepada mereka bagi mengubah minda mereka supaya lebih berwawasan dan menjadikan mereka berupaya  membina hala tuju kehidupan mereka lebih positif.

    Sistem maklumat Workfare ini juga akan membangunkan satu pangkalan data yang bersepadu yang akan mengintegrasikan maklumat-maklumat  berkaitan dengan bantuan-bantuan Kerajaan Negeri yang telah disalurkan kepada rakyat Selangor bagi merancang, melaksana dan memantau program kemisikinan dan memastikan bantuan disalurkan kepada rakyat miskin/asnaf tanpa ada  tiada pertindihan bantuan serta disalurkan kepada rakyat yang amat memerlukannya.

    Perolehan dan peruntukan kos untuk membangunkan sistem ini telah diluluskan oleh Perbendaharaan Negeri Selangor  dan Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Bahagian Teknologi Maklumat dalam proses mengumpulkan data-data daripada kesemua agensi Kerajaan yang telah dikenalpasti dan mendapatkan maklumat serta membuat beberapa sesi lawatan kepada agensi-agensi yang terlibat secara langsung dalam memberikan bantuan dalam menyediakan keperluan sistem dan seterusnya membuat perolehan pembangunan sistem secara tender terbuka.

Lampiran

Tiada Lampiran.