Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

81) PENGUATKUASA PBT MESTI DI PANTAU

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Noor Hanim Binti Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah PBT memantau atas segala tindakan penguatkuasaan terhadap rakyat? Contoh : 1- Pembuangan sampah di tempat-tempat awam. 2- Saman yang kerap kepada peniaga-peniaga kecil

    PBT sentiasa memantau segala tindakan penguatkuasaan terhadap rakyat di mana tindakan-tindakan yang dilaksanakan berpandukan Undang-Undang Kecil (UUK) yang diguna pakai. Manakala kompaun yang dikeluarkan akan diserahkan kepada Jabatan Undang-Undang untuk direkodkan kepada sistem kompaun. Sistem ini akan mengesan kompaun-kompaun yang telah tamat tempoh dan PBT akan mengeluarkan notis peringatan. Semua rekod kompaun dan tindakan penguatkuasaan akan diaudit keberkesanannya dan dibincangkan di dalam mesyuarat khas audit atau dibentangkan kepada mesyuarat jawatankuasa-jawatankuasa kecil PBT yang turut dianggotai oleh Ahli-Ahli Majlis. Antara contoh tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan adalah:-

    1. Tindakan penguatkuasaan ke atas penjaja tanpa lesen, penjaja warga asing, penjaja pasar malam dan pasar pagi serta penjaja berlesen yang tidak mematuhi syarat lesen – UUK Penjaja 2007.
    2. Tindakan penguatkuasaan ke atas premis pusat siber dan kafe siber yang melakukan kesalahan tanpa lesen, berunsur perjudian dan premis berlesen yang gagal mematuhi syarat – UUK Pusat Siber dan Kafe Siber 2007.
    3. Tindakan penguatkuasaan ke atas kenderaan yang melakukan halangan lalulintas – Perintah Pengangkutan Jalan (Tempat Letak Kereta) 2007.
    4. Tindakan penguatkuasaan di kawasan-kawasan taman. Contohnya : memancing di kawasan tasik, meletakan kenderaan di tempat yang tidak dikhaskan, menunggang motosikal di lorong pejalan kaki serta meletakan kenderaan berat melebihi 2 tan metrik – UUK Taman 2005.
    5. Tindakan penguatkuasaan ke atas premis pusat kecantikan, pusat penjagaan kesihatan serta rumah urut tidak berlesen atau premis yang berlesen yang tidak mematuhi syarat lesen – UUK Pusat Kesihatan dan Penjagaan Kesihatan 2013.
    6. Tindakan penguatkuasaan ke atas premis-premis perniagaan seperti premis besi buruk, mencuci kenderaan, menjual kenderaan terpakai dan lain-lain sama ada tidak berlesen atau berlesen yang tidak mematuhi syarat – UUK Perlesenan Tred Perniagaan dan

    Perindustrian 2013.

    1. Tindakan penguatkuasaan ke atas premis menjual makanan dan minuman sama ada tidak berlesen atau berlesen yang tidak mematuhi syarat – UUK Establisymen Makanan 2007.
    2. Tindakan penguatkuasaan ke atas iklan-iklan yang dipamerkan – UUK Iklan
    3. Tindakan penguakuasaan ke atas pusat sukan persendirian sama ada tidak berlesen atau berlesen yang tidak mematuhi syarat – UUK Pusat Sukan Persendirian
    4. Tindakan penguakuasaan ke atas premis hotel sama ada tidak berlesen atau berlesen yang tidak mematuhi syarat – UUK Hotel 2007.
    5. Tindakan penguakuasaan kesalahan pembuangan sampah – UUK Pembuangan, Pemungutan dan Pelupusan Sampah Sarap 2007.
    6. Tindakan penguakuasaan ke atas premis hiburan sama ada tidak berlesen atau berlesen yang tidak mematuhi syarat – Enakmen Hibuaran dan Tempat-tempat Hiburan (Selangor) 1995.
    7. Tindakan penguatkuasaan ke atas menjalankan aktiviti di pasar persendirian dan pasar awam sama ada tidak berlesen atau berlesen yang tidak mematuhi syarat – UUK Pasar
    8. Tindakan penguatkuasaan ke atas tempat letak kereta persendirian UUK Perlesenan Tempat Letak Kereta Persendirian 2007.
    9. Tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan halangan dan kekotoran di suatu tempat awam – Akta Jalan Parit dan Bangunan 1976.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.