Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

163) PENGURANGAN JUMLAH PELUPUSAN SISA PEPEJAL

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan mempunyai perancangan bersepadu dalam mengurangkan jumlah pelupusan sisa pepejal?

    Kerajaan Negeri telah melaksanakan Projek Perintis Kitar Semula dalam pengasingan sisa pepejal di empat (4) buah PBT iaitu MBPJ, MPAJ, MPKj dan MDHS mulai tahun 2015. Satu Pelan Tindakan Pelan Pengasingan Sisa berskala kecil yang merangkumi bahan kitar semula telah dilaksanakan di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai PBT perintis bagi mewujudkan ‘Action Plan’. Susulan daripada itu, MBSA dan MBPJ telah mula melaksanakan Program Pengasingan Sisa bermula pada tahun 2015, yang melibatkan sebanyak 13,699 unit rumah.

    Bagi mengurangkan jumlah pelupusan sisa pepejal, beberapa program seperti berikut juga telah dilaksanakan:-

    • Program kesedaran melalui 3R (Reuse/Reduce/Recycle) yang turut melibatkan Jawatankuasa Penduduk dan sekolah-sekolah;
    • Program menukar sisa makanan/domestik kepada pengkomposan; dan
    • Program Spring Cleaning setiap 4 musim perayaan (Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Krismas).

    Selain itu, MBPJ juga telah mengambil inisiatif untuk menggunapakai mekanisme “Anaerobic Digestor” (AD) di dalam langkah mengurangkan pelupusan sisa pepejal di tapak pelupusan terutamanya sisa yang dihasilkan di medan-medan selera. Pada masa kini, MBPJ telah memasang 2 unit (AD) untuk tujuan tersebut di lokasi berikut :-

    • 1 Unit AD di Smart PJ Waste Solution Lab, SS2 Petaling
    • 1 Unit AD di PJ Eco-Recycling Plaza, SS8/39 Petaling Jaya

    Bagi PBT lain pula, program pengasingan sisa telah mula dirancang dan ada yang telah dilaksanakan seperti berikut:-

    • Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) telah menjalankan program pengurangan sisa pepejal iaitu mewujudkan Pusat Biomass Bersepadu di mana aktiviti terdiri daripada Kompos sisa kebun; Kompos sayur-sayuran- Projek Vermikomposting dan Biogas- ‘Waste to Energy’- ‘Anaerobic Digestion’.

     

    • Manakala Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pula telah merangka satu projek yang komprehensif bagi tujuan mengurangkan penjanaan sisa pepejal ke tapak pelupusan sampah dengan mewujudkan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D Centre) bagi pengurusan sisa domestik dalam kawasan pentadbiran MPS bersama syarikat usahasama yang dilantik Syarikat Bell Enviro Sdn. Bhd. Pusat ini menjadi projek perintis sistem rawatan sisa domestik dengan kaedah Organocycler di Jalan Industri 3/1 Rawang Intergrated Industrial Park. Sisa domestik akan dihantar dan diproses untuk menjadi baja dan mengurangkan penggunaan tanah untuk tapak pelupusan sampah.

     

    • Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah berkerjasama dengan Freaser & Neave Sdn. Bhd (F&N) dalam menjalankan pertandingan kitar semula antara sekolah-sekolah dengan penglibatan sebanyak 20 buah sekolah di kawasan MPAJ selain berkerjasama dengan agensi bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Amal Seri Sinar (PASS) dan Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Melalui Kitar Semula (PKMMKS) bagi meletakkan 47 tong kitar semula di kawasan

     

    Untuk makluman Ahli Dewan, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor telah meneruskan Karnival Kepenggunaan Negeri Selangor atau dikenali Jelajah Pengguna pada tahun 2016 sebagai rancangan bersepadu dalam mendidik rakyat untuk mengamalkan budaya pengasingan bahan kitar semula dengan meningkatkan jumlah peruntukan kepada semua PBT daripada sebanyak RM10,000.00 pada tahun 2017 kepada RM20,000.00 pada tahun 2018. Antara pengisian program ini adalah:-

     

    • Taklimat Kepenggunaan;
    • Pameran Kitar Semula;
    • Pertandingan Reka Cipta Dari Barangan Terbuang;
    • Demontrasi Kitar Semula;
    • Menjalankan kempen-kempen seperti Hari Tanpa Beg Plastik;
    • Pengurangan Penggunaan Bahan Polistrin;
    • Kitar Semula Minyak Masak; dan
    • Program 3R (Reuse/ Reduce/ Recycle)

Lampiran

Tiada Lampiran.