Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

48) PENGURUSAN AIR SELANGOR

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Datuk Mat Nadzari Bin Ahmad Dahlan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan PASSB untuk memastikan bekalan air mencukupi?

    Sebelum perancangan yang teratur dan komprehensif boleh dilakukan, Air Selangor perlu melakukan penilaian dan analisis ke atas operasi sistem bekalan air sedia ada. Ini hanya boleh dilakukan setelah Air Selangor mengambil alih operasi dan pengurusan bekalan air sepenuhnya dari syarikat-syarikat pemegang konsesi air sedia

     

    Namun begitu, jika dilihat daripada segi pembekalan air terawat, pada ketika ini di Negeri Selangor terdapat 34 buah Loji Rawatan Air (LRA) yang beroperasi 24 jam sehari, terdiri dari 15 buah LRA utama dan 19 buah LRA kecil. Daripada segi reka bentuk loji sedia ada, 34 buah loji berupaya untuk menghasilkan 4,605 juta liter sehari (JLH) air terawat dan berupaya dioptimumkan pengeluarannya ke tahap maksimum 5,252 JLH. Jumlah pengeluaran semasa kesemua LRA tersebut yang boleh diagihkan oleh SYABAS kepada pengguna adalah sebanyak 4,625 JLH.

     

    Walaupun 34 buah Loji Rawatan Air berupaya dioptimumkan pengeluarannya ke tahap maksimum hingga mencapai 5,252 JLH, kapasiti yang boleh diagihkan oleh SYABAS kepada pengguna adalah 4,686 JLH sahaja. Kekangan utama di dalam mengagihkan air terawat kepada pengguna adalah disebabkan ketidakcukupan sistem agihan air di bawah kendalian SYABAS. Justeru itu, Projek Mitigasi-2 sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk menambah baik sistem agihan air sedia ada dalam usaha untuk meningkatkan kapasiti pengagihan pengeluaran air kepada pengguna. Projek Mitigasi-2 ini disasarkan siap sepenuhnya pada akhir tahun 2015 dan dengan setelah siap dan beroperasi, Projek Mitigasi-2 akan meningkatkan keupayaan agihan air ke kawasan Klang, Subang dan Petaling.

     

    Di samping itu Kerajaan Negeri juga telah membuat persediaan tambahan untuk mengukuhkan bekalan air mentah dengan penyiapan HORAS bagi menghadapi sebarang kemungkinan kemarau sekiranya ia berlaku pada tahun 2016. Seperti dinyatakan sebelum ini, Kerajaan Negeri tidak menjangkakan sebarang catuan akan berlaku pada tahun 2015 di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

     

    Selain daripada HORAS, Kerajaan Negeri juga merancang untuk melaksanakan pemindahan air mentah dari Sungai Bernam. Setelah siapnya kerja-kerja pemindahan air mentah Sungai Bernam dan HORAS, sumber air mentah di Sungai Selangor akan bertambah.

     

    Bagi memenuhi permintaan selepas 2017, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil inisiatif untuk meluluskan perlaksanaan Projek Langat 2 oleh Kerajaan Persekutuan yang dijangka siap pada tahun 2018. Jurang permintaan yang dijangka berlaku antara 2017 dan 2018 akan dipenuhi melalui perlaksanaan projek menaiktarafkan Loji Rawatan Air Sungai Langat (100 JLH) yang akan bermula sebelum akhir 2015. Projek ini dijangka akan mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan. Bekalan air daripada loji ini adalah untuk memenuhi kekurangan pengeluaran bekalan air, sekiranya Projek Langat 2 menghadapi kelewatan untuk beroperasi.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.