Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

114) PENGURUSAN DAN PEMPROSESAN SISA PEPEJAL

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri dalam penyelesaian pengurusan dan pemprosesan sisa pepejal secara menyeluruh?

    Kerajaan Negeri masih mempertimbangkan beberapa opsyen dalam menangani perihal pengurusan pemprosesan sisa pepejal secara menyeluruh di Negeri Selangor. Pada masa ini, kutipan sampah diuruskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Semua PBT dipertanggungjawabkan untuk melantik sendiri kontraktor untuk mengurus kutipan mengikut zon yang telah ditetapkan. Kontraktor yang telah dilantik ini perlu mengikut semua syarat dan ketetapan yang terkandung di dalam kontrak. Setelah kutipan dijalankan, kontraktor perlu membuang sisa pepejal tersebut di tapak-tapak pelupusan yang ditetapkan oleh PBT mengikut kesesuaian jarak. Sehingga kini, terdapat lapan (8) kawasan tapak pelupusan yang masih boleh digunakan di Negeri Selangor iaitu:

    • Tapak Pelupusan Sanitari Jeram;
    • Tapak Pelupusan Sanitari Tanjong 12;
    • Tapak Pelupusan Terbuka Bkt. Beruntung;
    • Tapak Pelupusan Terbuka Panchang Bedena;
    • Tapak Pelupusan Sanitari Bukit Tagar;
    • Tapak Pelupusan Sisa Lengai Dengkil;
    • Tapak Pelupusan Sisa Lengai Sg Kertas; dan
    • Tapak Pelupusan Sisa Lengai Kuang.

    Namun demikian, senario kebergantungan kepada tapak pelupusan dilihat semakin meruncing di mana kadar pembuangan sisa adalah dua kali ganda dari jumlah sepatutnya. Disebabkan itu, Kerajaan Negeri sedang meneliti beberapa kaedah untuk memodenkan pengurusan sisa pepejal ini secara bersepadu dalam usaha untuk memastikan pengurusan akan menjadi lebih efisien di masa akan datang. Kajian telah dilaksanakan untuk mencari penyelesaian yang paling efisien dalam pengurusan sisa pepejal ini. Ianya telah dibentangkan pada mesyuarat MTES pada Januari 2015 yang lalu. Kajian tersebut merangkumi perkara-perkara berikut iaitu:

    • Mengkaji semula status pengurusan sisa pepejal semasa;
    • Mengoptimum sistem yang terdapat di Negeri Selangor;
    • Menganggarkan kos untuk pelaksanaan pengurusan sisa pepejal secara bersepadu;
    • Mengenalpasti isu kritikal dan risiko sistem yang akan dilaksanakan; dan
    • Mengenalpasti opsyen dan memilih sistem yang sesuai.

    Hasil daripada kajian tersebut mendapati Kerajaan Negeri perlu mengubah infrastruktur pengurusan sisa pepejal selari dengan pertambahan penduduk dan penghasilan sisa di Negeri Selangor. Selain itu, Kerajaan Negeri juga perlu memperbaiki sistem dan pengoperasian memandangkan terdapat perubahan kepada cara hidup dan penghasilan sisa pepejal di mana penggunaan kaedah kitar semula akan mula dipergiatkan di masa hadapan. Kajian tersebut juga telah mengesyorkan beberapa perkara seperti berikut iaitu:

    • Melaksanakan pengurusan sisa pepejal bersepadu secara optimum;
    • Merombak semula undang-undang, polisi dan perlesenan pengurusan sisa pepejal di Selangor;
    • Menubuhkan satu organisasi Sisa Pepejal Selangor;
    •  Meneliti semula kontrak pengutipan sisa pepejal;
    • Mempergiatkan kempen-kempen kitar semula dan mengurangkan penghasilan sisa pepejal; dan
    • Menyediakan peralatan terkini bagi pengutipan sisa pepejal yang lebih efisien dan kemudahan fasiliti yang moden untuk pelupusan sisa pepejal.

    Oleh itu, Kerajaan Negeri akan membuat pertimbangan dan perubahan yang sewajarnya dalam memastikan isu sisa pepejal di Negeri Selangor dapat ditangani secara menyeluruh dan bersepadu.

Lampiran

Tiada Lampiran.