Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

252) PENGURUSAN FLAT KOS RENDAH

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan mempunyai rancangan untuk menubuhkan satu GLC atau agensi untuk mengambil alih kerja-kerja pengurusan daripada JMB demi menyelesaikan masalah kekurangan penyelenggaraan di flat-flat kos rendah?

    Kerajaan Negeri pada masa ini belum berhasrat menubuhkan satu agensi berkaitan kerajaan (GLC) atau agensi untuk mengambil alih kerja-kerja pengurusan daripada badan pengurusan bersama (JMB) yang gagal mengutip fi penyenggaraan sehingga tiada tabungan untuk menyenggara dan mengurus pangsapuri. Ini disebabkan pengambilan peranan ini melibatkan tanggungan kos yang tinggi setelah mengambilkira hutang-hutang JMB dan bilangan skim pangsapuri kos rendah yang ada di negeri Selangor.

     

    Berdasarkan Akta Hakmilik Strata 1985 [Akta 318], hakmilik tanah bagi sesebuah kawasan pemajuan strata adalah hakmilik semua pemilik dan mereka bertanggungjawab untuk menyenggara dan mengurus bangunan pangsapuri mereka.  Kerajaan Negeri telah melaksanakan tindakan berhubung penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang bagi setiap pangsapuri kos rendah yang tidak mampu menguruskan bangunan akibat defisit kutipan caj pengurusan. Dalam hal ini, pihak JMB perlu memperkasakan peranan mereka melalui Akta Pengurusan Strata 2013 (757) untuk mengutip tunggakan caj penyenggaraan di kalangan pemilik-pemilik tegar. JMB yang ditubuhkan mempunyai kuasa untuk mengutip caj penyenggaraan daripada pemilik untuk tujuan pengurusan dan penyenggaraan di bawah Seksyen 21 (subseksyen 2), dan dan seksyen 33, Akta Pengurusan Strata 2013 (757).

Lampiran

Tiada Lampiran.