Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

99) PENGURUSAN RUMAH BERTINGKAT

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Ng Tien Chee

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan perancangan Kerajaan untuk membantu badan-badan pengurusan rumah bertingkat yang dipenuhi dengan pelbagai cabaran termasuk kesulitan dalam pengutipan caj penyelenggaraan serta perlaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan.

    Berdasarkan peruntukan Akta Bangunan Dan Harta Bersama (Penyenggaraan Dan Pengurusan 2007) Akta 663, Kerajaan Negeri telah melaksanakan tindakan pendakwaan ke atas kesalahan pembeli yang gagal membayar caj penyenggaraan di mahkamah.  Bermula bulan Julai tahun 2012 dan sehingga kini, Kerajaan Negeri telah memfailkan sejumlah 290 kes ke mahkamah bagi kesalahan tersebut.

    Berhubung dengan isu kerja-kerja penyenggaraan bangunan, Kerajaan Negeri telah mewujudkan Format Kurikulum Bersepadu Pengurusan Bangunan Strata (FOKUS) yang seragam di Negeri Selangor bertujuan memberi pengetahuan mengenai skil dan kemahiran pengurusan bangunan kepada jawatankuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.  Pada tahun 2014, Kerajaan Negeri telah memperuntukan sejumlah RM360,000.00 Kepada semua Unit, Pesuruhjaya Bangunan untuk pelaksanaan FOKUS di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan masing-masing.

    Untuk mengatasi masalah kegagalan menubuhkan jawatankuasa JMB atau MC di kalangan pembeli atau pemilik, COB telah diberi kuasa melalui peruntukan Akta 663 untuk melantik ejen pengurusan bagi menguruskan bangunan pangsapuri terbabit.

    Walau bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian yang dibuat, Kerajaan Negeri mendapati, pengurusan bangunan yang dilaksanakan oleh jawatankuasa JMB atau MC adalah lebih baik kerana kos pengurusan yang lebih optimum.  Oleh itu, Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa akan memperhebatkan strategi pelaksanaan Kempen “Pangsapuri Kita…Bersih, Ceria Dan Harmoni” untuk memberi kesedaran kepada penduduk pangsapuri mengenai tanggungjawab bersama untuk menjaga pangsapuri mereka khususnya kepentingan membayar caj penyenggaraan.

Lampiran

Tiada Lampiran.