Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

27) PENGURUSAN SAMPAH KAMPUNG TRADISI MELAYU

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Tuan Edry Faizal Bin Eddy Yusof

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perkembangan perancangan pengurusan sampah bagi kampung tradisi Melayu?

    Kampung tradisi, bagan dan tempat-tempat yang tidak terletak di dalam kawasan operasi PBT secara prinsipnya tidak diberi perkhidmatan kutipan sampah dan pengurusan sampah oleh PBT. Namun, Kerajaan Negeri melalui PBT sentiasa mengusahakan perkara pengurusan sampah di kampung-kampung luar kawasan operasi PBT khususnya kampung yang terletak di kawasan bandar bertujuan untuk mengelakkan kejadian longgokan  sampah dengan menyediakan tong sampah di kawasan kampung-kampung yang berhampiran dengan jalan PBT. Tong sampah tersebut diletakkan di lokasi yang bersesuaian supaya lori sampah PBT dapat mengutipnya. Selain itu, bagi PBT yang berkemampuan dari segi kekuatan kewangan, kerja-kerja penyelenggaraan kawasan seperti di kawasan kampung telah distrukturkan, contohnya MBSA telah melantik kontraktor bagi kerja kutipan sampah domestik melalui tender terbuka.

    Semasa pembentangan belanjawan tahun 2020, Kerajaan Negeri telah bersetuju agar sejumlah RM6.85 juta diperuntukan bagi pengurusan sisa pepejal. Peruntukan yang pernah disalurkan oleh Kerajaan Negeri bagi membantu kampung menguruskan sampah melalui PBT adalah seperti berikut:-

     

    BIL. PBT BANTUAN PERUNTUKAN PENGURUSAN SAMPAH DI KAWASAN KAMPUNG
    2017

    (RM)

    2018

    (RM)

    2019

    (RM)

    2020

    (RM)

    1. MPKL 2,988,400.00 1,050,000.00 1,249,650.00 1,275,658.00
    2. MDHS 1,670,000.00 1,463,269.60
    3. MDKS 1,778,700.00 878,360.00 1,612,020.00
    4. MDSB 1,916,574.24 1,974,000.00 1,974,000.00

     

    Selain itu juga, Ahli Majlis juga digalakkan membuat program gotong royong bersama-sama penduduk dengan peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri melalui PBT sebanyak RM3,000 bagi PBT bertaraf daerah dan RM5,000.00 bagi PBT bertaraf perbandaran dan bandaraya kepada setiap Ahli Majlis bermula tahun 2018, bertujuan bagi menerapkan kesedaran dalam persekitaran yang bersih bagi aktiviti kawalan dan pencegahan wabak denggi atau gotong royong membersihkan kawasan persekitaran.

    Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan sejumlah RM500 ribu sebagai projek perintis kitar semula yang akan melibatkan beberapa buah kampung terpilih.

Lampiran

Tiada Lampiran.