Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

216) PENGURUSAN SAMPAH

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Zawawi Bin Ahmad Mughni

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejauh manakah kaedah pelupusan sampah dgn teknologi incenerator dapat mengatasi masalah sampah?

    Negeri Selangor menghasilkan sejumlah 7,000 tan sisa pepejal perbandaran sehari. Sisa pepejal di Negeri Selangor dijangka meningkat dengan anggaran kadar 2 peratus setiap tahun disebabkan pembangunan yang semakin pesat dan penambahan penduduk.

    Tapak pelupusan memerlukan sejumlah tanah yang besar. Apabila sesebuah tapak pelupusan mencapai kapasiti, tanah yang lebih besar, juga sesuai sebagai tapak pelupusan sanitari, diperlukan untuk menampung pertambahan sisa yang seterusnya.

    Selaras dengan usaha mengenal pasti kaedah pengurusan pepejal yang lebih mampan, Kerajaan Negeri Selangor telah pun meneliti dan meneroka teknologi baru untuk pengurusan sisa pepejal Negeri Selangor untuk masa hadapan. Dalam hal ini, KNS telah melantik syarikat Worldwide Holdings Berhad (WHB) untuk membangunkan teknologi tenaga sisa (WTE).

    Footprint guna tanah pembangunan WTE ini adalah sangat kecil berbanding dengan keperluan tanah secara landfilling. Dalam tempoh 30 tahun akan datang, loji WTE hanya memerlukan sebanyak 30 ekar tanah sahaja, berbanding tapak pelupusan yang memerlukan lebih kurang 660 ekar dalam tempoh yang sama untuk tujuan pelupusan sisa pepejal. Dianggarkan penjimatan tanah pembangunan teknologi WTE adalah sebanyak 95%.

    Selain penggunaan tanah yang kecil, teknologi WTE juga boleh mengurangkan kesan terhadap alam sekitar seperti bau, pencemaran alam sekitar, dan isu kesihatan yang kerap dikaitkan dengan sisa pepejal, di samping boleh menghasilkan bekalan tenaga tambahan (energy recovery).

    Tapak Pelupusan Sanitari Jeram (TPSJ) merupakan tapak pelupusan sisa pepejal yang terbesar di Malaysia mengikut jumlah isi padu sisa pepejal yang diterima oelh kemudahan tersebut pada setiap hari. Pembangunan teknologi WTE yang tidak dilaksanakan mengikut perancangan yang telah ditetapkan boleh memberi kesan ketara kepada kapasiti penerimaan sisa pepejal di TPSJ yang dijangka akan mencapai kapasiti penuh dalam tempoh tiga tahun lagi. Menjelang 2022, sebarang kelewatan pembangunan WTE tersebut akan mengakibatkan gangguan serius terhadap pengurusan sisa pepejal di Negeri Selangor yang akan memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat di negeri ini.

    Kemudahan WTE merupakan salah satu komponen sistem Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu (ISWMC) yang akan dibangunkan di Jeram, Kuala Selangor. Selain WTE, ISWMC juga akan menempatkan komponen-komponen lain seperti pusat perolehan semula sumber (MRF), loji pencernaan anaerobik (AD), loji pemprosesan kompos dan pusat penyelidikan sebagai suatu usaha holistik pengurusan sisa pepejal untuk seluruh Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.