Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

28) PENGURUSAN SISA DOMESTIK DAN PEPEJAL BAGI KERAJAAN TEMPATAN

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Lai Wai Chong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mengurangkan kos pelupusan sisa yang ditanggung oleh setiap pihak berkuasa tempatan?

    Secara dasarnya pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang berkualiti adalah memerlukan perbelanjaan yang besar dan sukar dikurangkan lebih-lebih lagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor telah menerima pertumbuhan bandar yang pesat, pertumbuhan kawasan perumahan baru yang tinggi, penambahan bilangan penduduk, penggunaan teknologi baru dalam pengurusan sampah dan peningkatan kos operasi sejajar dengan pertumbuhan ekonomi.

    Sehubungan itu, usaha untuk mengurangkan kos pelupusan sampah boleh dicapai melalui pengurangan jumlah sampah yang dihasilkan dan dihantar ke tapak pelupusan sampah di mana secara tidak langsung ia boleh mengawal kos pelupusan sampah oleh PBT. Oleh itu, kaedah terbaik dalam mengurangkan sampah adalah melalui program pengasingan sisa pepejal di peringkat punca dan menggiatkan program kesedaran kitar semula supaya program ini dapat dilaksanakan.

    Sehubungan dengan itu, berdasarkan Ucapan Belanjawan Tahun 2020 oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar Negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM600 ribu bagi pewujudan pusat kitar semula secara komprehensif di semua PBT dan sebanyak RM500 ribu kepada Kampung Tradisi terpilih sebagai projek perintis bagi memberi pendedahan kepada masyarakat di kampung akan kepentingan kitar semula serta sebagai pelan jangka panjang dalam mengurangkan penjanaan sampah di kawasan luar bandar. Di samping itu, Kerajaan Negeri amat menggalakkan PBT supaya memperhebatkan lagi aktiviti-aktiviti yang berasaskan kitar semula antaranya seperti:-

    1. Melaksanakan kempen kesedaran berkenaan pengasingan sisa dan memperkenalkan sistem pengasingan sisa isi rumah di peringkat komuniti penduduk;
    2. Menjalankan aktiviti kitar semula dengan mengadakan program 3R (Reduce, Reuse and Recycle) di peringkat sekolah rendah, menengah dan peringkat dalaman PBT;
    3. Program kitar semula pakaian terpakai;
    4. Program kitar semula e-Waste;
    5. Menyediakan kemudahan pusat kitar semula dan tong pengumpulan bahan kitar semula berpusat;
    6. Memperkenalkan sistem kutipan bahan kitar semula secara terus dari rumah penduduk; dan
    7. Program pengkomposan sisa yang dihasilkan dari sisa medan selera / premis makanan.

Lampiran

Tiada Lampiran.