Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

189) PENGURUSAN SISA PEPEJAL OLEH KDEB

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perbezaan pengurusan sisa pepejal oleh KDEB dari segi mekanisme,kos,pemantauan dan keberkesanan dalam penyelesaian aduan rakyat tentang sampah di MPK,MPS dan MPAJ?

    Seperti semua sedia maklum, KDEBWM, anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri telah dilantik sebagai PMC bagi menguruskan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam secara bersepadu. Daerah Klang di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah dipilih sebagai projek perintis dan KDEBWM telah memulakan operasinya di Klang bermula pada 1 Julai 2016 yang lalu. Seterusnya pada 1 Mac 2017, KDEBWM telah melebarkan sayapnya di dua lagi PBT apabila dilantik sebagai PMC di Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

    Sememangnya terdapat perbezaan yang amat ketara dari segi mekanisme, kos, pemantauan dan keberkesanan dalam penyelesaian aduan rakyat tentang sampah di MPK,MPS dan MPAJ.  KDEBWM sememangnya berbeza jika dibandingkan dengan syarikat-syarikat konsesi pengurusan pepejal yang lain.  Perbezaan yang paling ketara ialah KDEBWM merupakan anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri sendiri yang sentiasa menyokong dan mendokong penuh aspirasi Kerajaan Negeri untuk menjadikan negeri Selangor sentiasa bersih dan sihat. Ini berbeza jika dibandingkan dengan syarikat  konsesi pengurusan sisa pepejal lain yang lebih berorientasikan keuntungan. Sebagai anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, KDEBWM meletakkan matlamat utama untuk membantu Kerajaan Negeri menguruskan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dengan efektif dan efisyen. Sebarang keuntungan yang diperolehi oleh KDEBWM akan akhirnya dikembalikan semula kepada Kerajaan Negeri sebagai pemegang saham utama dalam bentuk dividen dan sumbangan dalam bentuk  aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat atau CSR.

    Dari segi kos, peruntukan yang disalurkan kepada KDEBWM untuk menguruskan perkhidmatan kutipan sisa pepejal di setiap PBT adalah berdasarkan bajet yang diluluskan oleh PBT tersebut. Sekiranya terdapat keperluan untuk mendapatkan peruntukan tambahan, KDEBWM akan membuat permohonan kepada Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN).  KDEBWM juga menguruskan sendiri urusan pinjaman dengan bank-bank komersial bagi membeli lori-lori kompaktor dan lori RORO yang baru yang akan diserahkan kepada sub-kontraktor yang telah dilantik.  Semua sub-kontraktor ini yang telah diberikan lori kompaktor dan RORO baru KDEBWM perlu membayar sewa bulanan pada kadar yang munasabah selama lima tahun dan semua lori-lori ini akan dipindah milik kepada sub-kontraktor tersebut pada tahun keenam.  Model perniagaan  seperti ini tidak pernah dipraktikkan oleh mana-mana syarikat konsesi sisa pepejal dan KDEBWM merupakan syarikat yang pertama mengguna pakai model perniagaan ini. Melalui model perniagaan seperti ini, kontraktor akan menggunakan lori kompaktor dan RORO baru untuk menjalankan kerja-kerja kutipan dan sekaligus dapat menyelesaikan isu-isu tipikal seperti lori yang kerap rosak, tumpahan air leacheate, pelepasan asap yang tidak terkawal dan sebagainya sekaligus dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

    Dari segi pemantauan dan keberkesanan dalam penyelesaian aduan rakyat tentang sampah, KDEBWM telah mewujudkan sebuah Pusat Aduan Setempat  yang dikenali sebagai Centralized Command Center (CCC) bagi menerima dan menyalurkan semua aduan yang diterima kepada Penyelia Kawasan KDEBWM. CCC juga akan memantau semua pergerakan lori baru KDEBWM yang dilengkapi dengan Automatic Vehicle Locating System (AVLS) dan kamera litar tertutup (CCTV) secara real time. Melalui penggunaan sistem dan gajet-gajet berteknologi tinggi ini, semua aduan yang diterima akan dapat ditangani dengan segera kerana perjalanan operasi dipantau dengan sistematik dan berkesan di CCC.  Penduduk di semua PBT yang mendapat perkhidmatan KDEBWM juga boleh menyalurkan aduan mereka melalui aplikasi iClean yang telah diwujudkan bagi mempelbagaikan dan mempermudahkan kaedah penyaluran aduan. Semua aduan-aduan yang diterima akan diambil tindakan segera dalam tempoh 24 jam.

Lampiran

Tiada Lampiran.