Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

165) Pengurusan Sumber Air Selangor

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah laporan berkenaan pencemaran air di Negeri Selangor yang telah direkodkan dan diambil tindakan pada tahun 2020?

    Bagi tahun 2020, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah merekodkan sejumlah sepuluh (10) kes kecemasan Kod Kuning manakala tujuh (7) kes kecemasan Kod Merah.

    Kod Kuning didefinisikan sebagai kes kecemasan yang berpotensi menyebabkan Loji Pembersihan Air (LPA) dihentitugas. Kes kecemasan ini berjaya ditangani tanpa melibatkan henti tugas LPA. Bagi kod kuning, pihak LUAS telah melaksanakan tindakan pantas dengan menggunakan peralatan bersesuaian seperti oil boom dan oil pad serta arahan pelaksanaan pembersihan serta merta kepada Premis bagi menghalang pencemaran mengalir ke bahagian hilir.

    Manakala Kod Merah didefinisikan sebagai kes kecemasan yang telah menyebabkan henti tugas LPA. Kes kecemasan ini perlu ditangani dengan kadar segera. Dalam isu ini, pihak LUAS telah menjalankan tindakan dengan peningkatan pelepasan air empangan atau Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK) bagi meningkatkan kadar pencairan sungai; arahan pelaksanaan pembersihan serta merta kepada Premis serta melantik kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan dengan kadar segera jika insiden berskala besar.

Lampiran

Tiada Lampiran.