Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009

68) PENILAIAN PRESTASI KAKITANGAN KERAJAAN DAN TINDAKAN TERHADAP KAKITANGAN

Tahun: 2009

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Lee Ying Ha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan yang akan diambil oleh pihak kerajaan terhadap kakitangan kerajaan yang enggan bekerjasama dengan ADUN dan pihak EXCO?

    Jentera Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited dan berusaha meningkatkan mutu sistem penyampaian perkhidmatan awam dari semasa ke semasa kepada orang awam dan stakeholders termasuk ahli politik. Penjawat awam merupakan ‘Pemudah cara’ atau ‘fasilitator’ kepada pelaksanaan pelbagai program yang direncanakan di semua peringkat.

     

    Penjawat awam melaksanakan tugas berdasarkan lunas-lunas perundangan dan prosedur piawaian yang telah ditetapkan. Justeru itu, sekiranya pelaksanaan tugas yang diklasifikasikan berada di luar lingkungan peruntukan perundangan atau prosedur sedia ada, maka penjawat awam berhak untuk tidak menyempurnakannya. Namun yang demikian, jika pelaksanaan tugas adalah selari dengan lunas perundangan dan prosedur maka penjawat awam akan memastikan tugas yang diamanahkan dengan jayanya.

     

    Sekiranya seseorang penjawat awam ditafsirkan enggan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana EXCO atau ADUN, maka laporan secara rasmi (bertulis) perlu dikemukakan kepada Ketua Jabatan yang berkenaan. Seterusnya, laporan tersebut perlu disiasat dan diperhalusi dengan menubuhkan Jawatankuasa Siasatan. Hasil dapatan jawatankuasa ini akan ditimbang dan diteliti oleh Pihak Berkuasa Tatatertib yang berkenaan.

     

    Jika seseorang penjawat dibuktikan bersalah dan gagal membela diri terhadap pertuduhan yang dibangkitkan, maka penjawat awam berkenaan boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan dan Tatatertib) 1995 bagi lantikan Negeri Selangor dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi lantikan Persekutuan.

Lampiran

Tiada Lampiran.