Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

148) PENINGKATAN STATUS PBT

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Lai Wai Chong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri dalam membantu MPAJ mencapai status bandaraya?

    Sebarang usaha atau cadangan menaik taraf PBT kepada Majlis Bandaraya hendaklah mengambil kira kepatuhan sebelas (11) kriteria asas seperti mana yang ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di dalam Pekeliling Ketua Setiausaha, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bilangan 4 Tahun 2008. Dalam masa yang sama, peruntukan seksyen 4(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) membenarkan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) berunding dengan Menteri untuk menukar taraf sesuatu PBT. Oleh yang demikian, dalam membantu MPAJ dinaiktaraf sebagai sebuah Majlis Bandaraya,  Kerajaan Negeri akan memastikan dahulu MPAJ bersedia dan telah mematuhi semua syarat-syarat yang ditetapkan oleh KPKT. Kerajaan Negeri juga akan memastikan perkhidmatan dan pengurusan   yang   diberikan oleh PBT ini dipertingkatkan serta mengamalkan  sistem tadbir urus yang cekap dan yang baik.

    MAKLUMAT TAMBAHAN

    11 Kriteria Naik Taraf Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)  daripada  Majlis Perbandaran kepada Majlis Bandaraya

    Kriteria 1:

    PBT itu harus meliputi kawasan pusat pentadbiran sesebuah negeri.

     

    Kriteria 2:

    Mempunyai penduduk tidak kurang daripada 500,000 orang.

     

    Kriteria 3:

    Mempunyai pendapatan dari sumber kewangan yang mapan (fiscally sustainable) dengan hasil tahunan tidak kurang dari RM100 juta serta mampu mengimbangkan perbelanjaan.

     

    Kriteria 4:

    Berupaya menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan pada tahap yang tinggi termasuklah aktiviti kutipan hasil, kelulusan pemajuan pembangunan, penguatkuasaan dan lain-lain fungsi PBT serta mempunyai struktur organisasi yang mantap serta kakitangan yang berkebolehan menjalankan tugas dengan cekap dan berkesan.

     

    Kriteria 5:

    Pembangunan bandar yang menekankan kepada pembangunan mapan (sustainable development) serta memberi tumpuan kepada usaha untuk menangani isu-isu perbandaran seperti setinggan, operasi kilang haram, keselamatan, perumahan untuk golongan berpendapatan rendah dan pemeliharaan alam sekitar. Indikator bandar mapan seperti yang ditekankan dalam Sistem Malaysia Urban Indicator Network (MURNInet) juga akan diambil kira.

     

    Kriteria 6:

    Pembentukan imej bandar ataupun identiti yang bersesuaian dengan fungsi bandar dan budaya nasional yang melambangkan sejarah dan warisan. Kawasan-kawasan dan bangunan-bangunan yang mempunyai nilai sejarah, budaya dan senibina yang unik serta perlu dipelihara.

     

    Kriteria 7:

    Mempunyai pusat perindustrian, institusi kewangan dan kemudahan menjalankan perniagaan dan perdagangan bagi menarik kemasukan pelabur. Ini termasuklah kemudahan-kemudahan perhotelan bagi menggalakkan kegiatan pelancongan dan urusan perniagaan. Tumpuan diberikan kepada kepesatan sektor perkhidmatan serta pembangunan aktiviti ekonomi bandar yang bernilai tambah dan berorientasikan pengetahuan .

     

    Kriteria 8:

    Mempunyai pusat institusi pendidikan yang lengkap dengan universiti, kolej, maktab, muzium dan perpustakaan awam.

     

    Kriteria 9:

    Pusat kepada aktiviti kebudayaan, acara-acara sukan dan riadah serta konvensyen di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

     

    Kriteria 10:

    Mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap, utiliti awam yang mencukupi termasuklah taman-taman awam yang mesra pengguna terutamanya kepada Orang Kurang Upaya (OKU). Ini termasuklah kemudahan-kemudahan pengangkutan awam, sistem pengurusan lalu lintas dan rangkaian jalan raya yang cekap serta perkhidmatan ICT.

     

    Kriteria 11:

    Mendapat pengiktirafan tertentu sama ada di peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa dalam bidang-bidang tertentu sejajar dengan taraf sebagai sebuah bandar raya.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.