Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

3) PENJANAAN TENAGA SOLAR DI BANGUNAN KERAJAAN

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha kerajaan supaya semua bangunan kerajaan menjana tenaga solar untuk keperluan tenaga bangunan tersebut dibawah skim Net Energy Metering yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan?

    Kerajaan Negeri komited untuk melaksanakan projek pemasangan solar panel di semua bangunan Kerajaan Negeri selaras dengan seruan Dasar Kerajaan Persekutuan melalui Pelan Utama Teknologi Hijau Malaysia 2017 – 2030 berhubung tenaga boleh diperbaharui.

    Bagi menjayakan hasrat pemasangan solar panel di semua bangunan Kerajaan Negeri, beberapa siri perbincangan telah diadakan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB). Selain itu, pihak TNB juga telah membuat pembentangan bertajuk Cadangan Pemasangan Panel Solar Di Bangunan-Bangunan Kerajaan Negeri Selangor Di Bawah Skim Solar Energy Purchase (SEP) pada Mesyuarat Tindakan  Ekonomi Negeri (MTES) bertarikh 30 Mei 2019.

    Skim Solar Energy Purchase adalah salah satu pakej di bawah Net Energy Metering yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan. Di mana pengguna atau dalam konteks ini Kerajaan Negeri tidak perlu mengeluarkan modal dan kos pemasangan serta penyelenggaraan sepanjang tempoh kontrak akan ditanggung oleh TNB.

     

    Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah menimbang taklimat cadangan dan meluluskan cadangan Pemasangan Panel Solar Di Bangunan-Bangunan Kerajaan Negeri Selangor iaitu di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) dan semua Pejabat Tanah dan Daerah di bawah Skim Solar Energy Purchase oleh TNB. Selain itu, pihak UPEN diminta untuk mengadakan perbincangan langsung dan terperinci dengan TNB bagi mengkaji semula tempoh kontrak dan kadar tarif yang akan dikenakan.

    Pada satu Mesyuarat Mengenai Cadangan Pemasangan Panel Solar Di Bangunan-Bangunan Kerajaan Negeri Selangor yang telah diadakan pada 9 Ogos 2019, pihak TNB memaklumkan bahawa mereka masih lagi dalam peringkat pengiraan keluasan kawasan pemasangan panel solar. Cadangan tarif dan tempoh kontrak akan dikemukakan kepada UPEN selepas pihak TNB mendapat kiraan keluasan sebenar pemasangan panel solar.

Lampiran

Tiada Lampiran.