Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009

180) PENSTRUKTURAN DAN PENYUSUNAN SEMULA INDUSTRI AIR SELANGOR

Tahun: 2009

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan apakah perkembangan terkini rundingan di antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat serta para Syarikat Konsesi berhubung kait dengan usaha penstrukturan tersebut?

    Rundingan mengenai penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor telah dibuat semenjak tahun 2008 lagi.  Pada 12 Februari 2009, Kerajaan Negeri Selangor telah mengemukakan tawaran awal sejumlah RM5.7 bilion kepada Pemegang Konsesi.  Namun demikian, kesemua Pemegang Konsesi Air telah menolak tawaran tersebut atas alasan bahawa nilai yang ditawarkan itu adalah rendah dan tidak cukup untuk menampung obligasi hutang Pemegang Konsesi.

     

    Lanjutan dari penolakan oleh Pemegang Konsesi terhadap tawaran asal tersebut, penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor telah mencapai jalan buntu.  Bagi mengatasi kebuntuan tersebut, Kerajaan Persekutuan telah memulakan semula rundingan dengan Kerajaan Negeri Selangor.  Rundingan semula ini telah bermula pada 25 Mei 2009 di mana satu jawatan kuasa penstrukturan semula industri air negeri Selangor telah diwujudkan di peringkat Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KTTHA).  Mesyuarat Jawatan Kuasa penstrukturan tersebut dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KTTHA dan dianggotai oleh agensi Kerajaan Persekutuan iaitu Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).  Pasukan dari Kerajaan Negeri Selangor yang diketuai oleh Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri dan anggotanya terdiri dari Y.B. Penasihat Undangundang, Y.B. Pegawai Kewangan Negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri, Penasihat Kewangan kepada YAB Dato Menteri Besar, Pegawai Penyelidik kepada YAB Dato

    Menteri Besar, wakil Pejabat kepada YAB Dato Menteri Besar dan Kumpulan Darul  Ehsan Berhad (KDEB) adalah turut menjadi ahli di dalam Jawatan Kuasa Penstrukturan peringkat Kerajaan Persekutuan.

     

     

    Peranan dan Tanggungjawab jawatan kuasa penstrukturan semula industri air negeri Selangor adalah  seperti berikut:-

     

    1. mengkaji dan menilai cadangan konsep da model penstrukturan dan opsyen yang sesuai dan praktikal untuk dilaksanakan selari dengan Akta Industri Perkhidmatan Air (Akta 655).
    2. Melaksanakan opsyen yang telah dipersetujui termasuk mengadakan rundingan dengan semua pihak yang terlibat dalam penstrukturan semula ini mengikut opsyen yang telah dipersetujui.
    3. Memperakukan hasil rundingan kepada pihak yang membuat keputusan iaitu:
      i) KTTHA memperakukan kepada Kabinet; dan

      ii) Kerajaan Negeri Selangor memperakukan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

       

    4. Menyediakan perjanjian yang berkaitan dengan penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor.

     

    Antara 25 hingga 29 Mei 2009, Kerajaan Negeri Selangor telah membentangkan model penstrukturan semula negeri Selangor ke dalam Jawatan kuasa tersebut.  Model yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah pengambil alihan kesemua Syarikat Konsesi Air di Selangor dan seterusnya satu operator yang terdiri dari syarikat milik penuh Kerajaan Selangor akan dilantik Single Operator dalam mengendalikan perkhidmatan air secara holistik bermula dari rawatan hingga pengagihan air kepada pengguna di Negeri Selangor.

     

    PAAB turut membentangkan opsyen penstrukturan di mana SYABAS dan Puncak Niaga disatukan sebagai operator yang dilesenkan oleh SPAN untuk agihan dan rawatan manakala ABASS dan SPLASH dikekalkan sebagai operator rawatan dan diberikan authorisation oleh SPAN.

     

    Namun Jawatan Kuasa akhirnya bersetuju supaya Model Selangor digunakan di dalam rundingan bersama Pemegang Konsesi.  Lanjutan dari persetujuan ke atas Model Selangor, pasukan rundingan dengan Pemegang Konsesi telah mengujudkan Jawatan Kuasa Induk Rundingan dan Jawatan Kuasa Kerja di peringkat Negeri Selangor.  Jawatan Kuasa Induk Rundingan diketuai oleh Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor turut dianggotai oleh wakil dari KTTHA adalah berperanan untuk mengemukakan dan merundingkan harga tawaran kepada Pemegang Konsesi. Manakala Jawatan Kuasa Kerja diketuai oleh Penasihat Kewangan kepada YAB Dato Menteri Besar Selangor dan dihadiri oleh wakil dari Syarikat Konsesi Air. Jawatan Kuasa Kerja adalah berperanan untuk membincangkan dengan wakil Syarikat Konsesi secara terperinci dari segi kewangan yang berkaitan dengan  harga yang telah ditawarkan tersebut dan seterusnya melaporkan kepada Jawatan Kuasa Induk Rundingan. Rundingan dengan Pemegang Konsesi telah dimulakan oleh Jawatan Kuasa Induk Rundingan dan Jawatan Kuasa Kerja bermula semenjak 10 Jun 2009.

     

    Dalam rundingan bersama Syarikat Konsesi, Kerajaan Negeri telah memaklumkan bahawa pengambilalihan aset-aset air oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah tertakluk kepada syarat-syarat:

     

    1. Penjualan aset-aset air tersebut kepada PAAB secara serentak(back to back) oleh Kerajaan Negeri Selangor; dan
    2. Pemberian lesen di bawah Akta Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kepada Kerajaan Negeri Selangor melalui syarikat nomini untuk pengagihan dan rawatan air di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

     

    Pada 25 Jun 2009, Kerajaan Negeri Selangor telah mengemukakan surat tawaran untuk pengambilalihan syarikat konsesi air kepada keempat-empat operator air di Negeri Selangor.  ABASS bersetuju menerima tawaran Kerajaan Negeri Selangor, SPLASH setuju dengan syarat Kerajaan Negeri Selangor perlu memberi komitmen kepada kontrak jangka panjang O & M sedia ada, manakala SYABAS tidak dapat menerima tawaran kerana apa jua keputusan SYABAS adalah tertakluk kepada keputusan bertulis dari Kementerian Kewangan yang merupakan Pemegang Saham Emas dalam SYABAS dan Puncak tidak bersetuju dengan kaedah penilaian aset yang diguna pakai dalam menentukan nilai tawaran tersebut.

     

    Selain dari tawaran kepada Syarikat Konsesi Air, Kerajaan Negeri Selangor telah mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat juruaudit bebas  bagi tujuan melantik syarikat tersebut untuk melaksanakan proses ketekunan wajar (due diligence) dalam langkah untuk mengambilalih syarikat –syarikat konsesi air tersebut.  Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Selangor telah berbincang dengan panel peguam bagi tujuan untuk penyediaan dokumen perjanjian yang terlibat dalam pengambilalihan syarikat konsesi tersebut.

    Namun demikian, kerana SYABAS dan Puncak tidak bersetuju menerima tawaran Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Persekutuan melalui KTTHA berpandangan bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak dapat memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air mengikut Model Negeri Selangor.  Lanjutan dari itu, KTTHA telah memaklumkan bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju supaya Model yang pernah dikemukakan oleh PAAB dahulu digunakan sebagai Model alternatif dalam melaksanakan penstrukturan semula ini.  Model alternatif ini masih lagi di peringkat rundingan Jawatan Kuasa Penstrukturan semula Industri Perkhidmatan Air yang diketuai oleh KTTHA di mana Kerajaan Negeri Selangor adalah merupakan ahli di dalamnya.

Lampiran

Tiada Lampiran.